Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pelawat ke M'sia perlu jalani ujian COVID-19 selama 6 hari setelah ketibaan

Pelawat dari luar negara bagi kategori Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) udara dan darat, Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) dan One Stop Centre (OSC) untuk pelawat perniagaan jangka pendek, perlu menjalani ujian COVID-19 selama enam hari selepas tiba di Malaysia.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelawat ke M'sia perlu jalani ujian COVID-19 selama 6 hari setelah ketibaan

Seorang penumpang memakai pelitup di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 29 Nov 2021 (Gambar: Mohd RASFAN/AFP)

Diterbitkan : 07 Dec 2021 10:27PM Dikemas Kini : 07 Dec 2021 10:32PM

KUALA LUMPUR: Pelawat dari luar negara bagi kategori Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) udara dan darat, Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) dan One Stop Centre (OSC) untuk pelawat perniagaan jangka pendek, perlu menjalani ujian COVID-19 selama enam hari selepas tiba di Malaysia.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata keperluan itu berkuat kuasa esok (8 Dis) dan merupakan tindakan pengukuhan Kementerian Kesihatan (KKM) kepada langkah pencegahan dan kawalan sedia ada, bagi mencegah kemasukan dan penularan varian Omicron ke negara ini.

“Pengembara kategori tersebut perlu menjalani ujian pengesanan COVID-19 semasa ketibaan di Malaysia, ujian RTK-Ag atau ujian pantas antigen (kendiri) pada hari kedua, keempat dan keenam selepas ketibaan dan melakukan ujian RTK-Ag (profesional) pada hari ketiga dan kelima selepas ketibaan.

“Bagi pengembara LITB, mereka perlu menjalani ujian RT-PCR dalam tempoh dua hari sebelum berlepas keluar dari Pulau Langkawi. Semua keputusan ujian perlu dilaporkan melalui aplikasi MySejahtera,” katanya dalam kenyataan mengenai tindakan pengukuhan pencegahan dan pengawalan COVID-19 bagi pelawat dari luar negara hari ini (7 Dis).

Selain menetapkan pelawat daripada kategori tersebut perlu lengkap vaksinasi, Encik Khairy berkata mereka juga dikehendaki melakukan ujian RT-PCR dalam masa dua hari sebelum berlepas ke Malaysia, menggantikan prosedur terdahulu yang menetapkan 72 jam sebelum berlepas.

Encik Khairy berkata bagi pelawat dari lima negara yang melaporkan penularan varian Omicron dalam masyarakat iaitu United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Perancis dan Norway, mereka juga perlu melakukan ujian RT-PCR dalam masa dua hari sebelum berlepas ke Malaysia dan perlu memakai peranti pengesanan digital sepanjang tempoh kuarantin wajib.

Keperluan melakukan ujian RT-PCR dalam masa dua hari sebelum berlepas ke Malaysia dan pemakaian peranti pengesanan digital semasa kuarantin wajib juga terpakai bagi pengembara (warganegara dan pemegang pas lawatan jangka panjang) dari lapan negara yang dikenakan sekatan perjalanan sementara sebelum ini.

Menurut Encik Khairy, tindakan pengukuhan yang dilaksanakan KKM itu akan disemak dari semasa ke semasa.

Sehingga Isnin, sebanyak 43 negara telah melaporkan kes COVID-19 jangkitan varian baru Omicron dengan lapan daripadanya dikenakan sekatan perjalanan sementara bermula 27 Nov lepas melibatkan Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi.  

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan