Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pelanjutan tempoh sah 2 tahun percuma bagi pasport M'sia berakhir pada 2021

Rakyat Malaysia di luar negara yang memegang pasport dengan tarikh akhir jatuh pada 2021 akan diberikan pelanjutan kesahan selama dua tahun secara percuma, menurut Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura pada Selasa (8 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Pelanjutan tempoh sah 2 tahun percuma bagi pasport M'sia berakhir pada 2021

Halaman kosong dalam sebuah pasport Malaysia. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 09 Jun 2021 06:15PM Dikemas Kini : 09 Jun 2021 06:18PM

SINGAPURA: Rakyat Malaysia di luar negara yang memegang pasport dengan tarikh akhir jatuh pada 2021 akan diberikan pelanjutan kesahan selama dua tahun secara percuma, menurut Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura pada Selasa (8 Jun).

Keputusan oleh Jabatan Imigresen itu dibuat demi memudahkan lonjakan pada pembaharuan pasport di luar negara, menurut pesuruhjaya tersebut dalam satu catatan Facebook.

"Mereka yang terjejas boleh memilih untuk mendapatkan pelanjutan itu dicap di 'Halaman Pemerhatian' atau di muka surat 48 (daripada pasport) di suruhanjaya tinggi atau kedutaan terdekat.

"Tiada yuran bagi pelanjutan itu. Khidmat pelanjutan disediakan serta-merta," menurut kenyataan tersebut.

Individu yang mahu tempoh kesahan pasport mereka dilanjutkan boleh mengisi dan menyerahkan borang permohonan di suruhanjaya tinggi. Satu tarikh janji temu kemudian akan diemelkan kepada pemohon, menurut kenyataan itu.

Awal tahun ini, gambar-gambar yang menunjukkan rakyat Malaysia di Singapura beratur panjang selama berjam-jam di suruhanjaya tinggi negara itu untuk memperbaharui pasport mereka tersebar di media sosial.

Pada Mac, Jabatan Imigresen Malaysia menyatakan masalah kesesakan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura boleh diselesaikan. Jabatan itu menyatakan ia akan mengerahkan lapan pegawai di suruhanjaya itu untuk mempercepatkan proses dokumentasi pasport.

Dalam kenyataannya pada Selasa, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura menyatakan bahagian imigresen hanya boleh memenuhi "jumlah permohonan manual yang terhad" kerana keterbatasan pada mesin dan tenaga manusianya selain peraturan jarak sosial.

Ia menambah bahagian imigresennya beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 7.00 malam setiap hari sejak Julai 2020.

"Penangguhan yang berpanjangan ini menyebabkan ramai orang tinggal lebih lama di luar negara dan sebilangan rakyat Malaysia berasa perlu untuk memperbaharui pasport mereka di luar negara disebabkan oleh tarikh akhirnya yang bakal menjelang. Ini mengakibatkan peningkatan mendadak pada pembaharuan Pasport Antarabangsa Malaysia (MIP) di pejabat luar negara," jelasnya.

Suruhanjaya tinggi itu menambah mereka yang mahu memperbaharui pasport mereka mengikut prosedur semasa boleh terus berbuat demikian.

"Bagaimanapun, waktu menunggu untuk mendapatkan pembaharuan MIP buat masa ini, termasuk pembaharuan secara online, akan mengambil masa lapan hingga 12 minggu. Ini kerana jumlah tinggi pada permohonan MIP di sistem," menurutnya lagi.

Berdasarkan lelaman Kementerian Ehwal Luar, yuran permohonan sebanyak RM200 (S$64.30) dikenakan bagi pasport yang mempunyai tempoh sah selama lima tahun. Kanak-kanak berusia bawah 13 tahun dan warga tua berumur 60 tahun dan ke atas perlu membayar RM100 (S$32). 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan