Images
  • europe covid-19
    (Gambar: Reuters)

Pelancong AS yang divaksinasi boleh kunjungi Eropah

WASHINGTON: Para pelancong Amerika Syarikat (AS) yang menerima suntikan vaksin COVID-19 akan dapat mengunjungi Kesatuan Eropah (EU) dalam beberapa bulan akan datang. Demikian menurut Ketua Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen dalam satu wawancara pada Ahad dengan The New York Times.

Keputusan itu menandakan perubahan besar dalam dasar EU sedang program vaksinasi dipergiatkan di seluruh dunia

Ketua Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen dalam temubual dengan The Times tidak memberikan garis masa, tetapi Times menyatakan bahawa peraturan baru itu mungkin dilaksanakan musim panas ini.

"Rakyat Amerika, sejauh yang saya lihat, menggunakan vaksin yang diluluskan oleh Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA)... ini akan membolehkan pergerakan bebas dan perjalanan ke EU.

"Ini kerana semua 27 negara anggota akan menerima, tanpa syarat, kesemuanya mereka yang telah diberi vaksin diluluskan EMA," katanya.

EMA sudah meluluskan tiga vaksin yang digunakan di Amerika Syarikat iaitu Moderna, Pfizer dan Johnson & Johnson.

Menurut Times, program vaksinasi Amerika Syarikat yang pantas dan kemajuan dalam perbincangan mengenai bagaimana untuk menggunakan sijil vaksin, adalah sebab di sebalik rancangan untuk membenarkan semula pelancongan dari AS ke EU.

Cik Von der Leyen berkata, AS sedang mencapai "kemajuan besar" dan mengambil perhatian ia menepati sasaran untuk memberikan suntikan vaksin kepada 70 peratus golongan dewasa menjelang pertengahan Jun.

Penyambungan perjalanan "akan bergantung kepada keadaan epidemiologi, tetapi keadaan bertambah baik di AS seperti yang diharapkan dan juga bertambah baik di EU," tambahnya.

Wabak itu sudah menjejas teruk sektor pelancongan di benua itu, dengan banyak negara menutup sempadan untuk perjalanan yang tidak penting.

Greece pada minggu lalu menyatakan para pelancong dari EU dan lima negara lain yang sudah menerima suntikan vaksin atau mempunyai keputusan negatif bagi ujian COVID-19 baru-baru ini tidak perlu lagi dikuarantin semasa ketibaan.

Negara itu berharap untuk membuka kembali sektor pelancongannya yang terjejas teruk dan meningkatkan program vaksinasinya dengan harapan untuk mempertingkatkan kekebalan dalam kalangan penduduk.

EU berhasrat melancarkan pasport vaksin untuk para pelancong, walaupun rancangan secara formal belum dibuat.

- AFP/NA/na

Top