Images
  • tehran hijab
    Ekoran revolusi Islam 1979, pemakaian wajib tudung kepala dikuatkuasakan di seluruh Iran. (Gambar: AFP)

Pelajar bertembung isu pemakaian wajib hijab di Universiti Tehran

TEHRAN: Pertembungan meletus antara para pelajar Iran di Universiti Tehran pada Isnin (13 Mei) semasa bantahan ke atas penguatkuasaan pemakaian hijab di institusi pendidikan itu, lapor media.

“Beberapa pelajar berhimpun...mendakwa polis moral dan pasukan keselamatan memasuki universiti" untuk memberi amaran kepada para pelajar supaya tidak gagal mematuhi pemakaian wajib tudung, menurut agensi berita separa rasmi Iran, ISNA.

ISNA melaporkan seorang naib presiden yang bertanggungjawab bagi ehwal budaya universiti tersebut, Majid Sarsangi, cuba bercakap dengan para pelajar namun ‘dihalang secara fizikal’ daripada berbuat demikian.

Encik Sarsangi menafikan mana-mana pasukan polis atau pasukan keselamatan memasuki pekarangan universiti itu.

Bagaimanapun, katanya, dua kumpulan pelajar yang bercanggah pandangan bertembung antara satu sama lain. Pihak sekolah pula cuba untuk menenangkan pelajar yang naik berang.

ISNA menerbitkan sebahagian daripada kenyataan oleh pelajar yang membantah kaedah penguatkuasaan yang dikenakan ke atas pelajar wanita bahawa mereka harus melalui ‘pemeriksaan ketat ketika memasuki universiti.’

“Pelaksanaan satu jenis pakaian ke atas pelajar adalah pelanggaran langsung terhadap hak asasi manusia mereka,” tambah kenyataan tersebut.

Agensi berita Fars menyatakan kekecohan meletus antara penunjuk perasaan dan pelajar lain yang menyokong penguatkuasaan pemakaian hijab apabila penunjuk perasaan mula berarak dalam pekarangan universiti sambil melaungkan apa yang dikatakan ‘slogan melanggar undang-undang.’

Bagaimanapun, tiada sebarang laporan kematian atau penangkapan dibuat. Berikutan revolusi Islam 1979, pemakaian wajib tudung dikuatkuasakan di seluruh Iran dengan wanita dipaksa memakai pakaian sopan dan menutup aurat.

Setiap tahun sepanjang Ramadan, pihak berkuasa menguatkuasakan dengan ketat kod pemakaian mengikut syariah.

- AFP/FZ/fz

Top