Images
  • pull son out
    Encik Asman Hamid menarik mayat anak ketiganya, Samsul (gambar) dari timbunan tanah. (Gambar: BERNAMA)

Pekerja asing tarik jasad anak keluar dalam insiden tanah runtuh Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Luluh hati seorang bapa apabila jasad kaku yang ditarik olehnya bersama-sama anggota penguatkuasa di tapak tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus adalah tubuh anak lelakinya.

Encik Asman Hamid, 62 tahun, menarik mayat anak ketiganya, Samsul, 19, dari timbunan tanah ketika turut serta dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa-mangsa tanah runtuh di kawasan itu.

Kisah itu dikongsi oleh ibu saudara mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Ramsiah.

"Bapanya (Asman) turut bersama-sama polis dan bomba ketika mencari anaknya. Dia turut tanggalkan kasut dan korek tanah kemudian tarik Samsul dari tanah itu,” kata Cik Ramsiah ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang.

Beliau menambah, sebaik sahaja menarik jasad itu dari timbunan tanah, Encik Asman terus mengecam batang tubuh itu.

JENAZAH AKAN DITERBANGKAN KE INDONESIA

“Mereka (Asman dan isteri) kemudian menaiki trak polis bersama-sama jasad Samsul ke hospital," cerita Cik Ramsiah lebih lanjut.

Difahamkan, keluarga Allahyarham Samsul membuat keputusan untuk membawa pulang jenazahnya ke Indonesia setelah proses bedah siasat selesai dijalankan.

Jenazah akan dibawa pulang menerusi penerbangan dari Pulau Pinang ke Jakarta seterusnya Makasar, Kendari dan dari Kendari, jenazah akan dibawa menaiki pengangkutan darat untuk sampai ke Buton, katanya.

Semalam (19 Okt), Encik Asman dan isterinya tiba di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik HPP pada 6.20 petang. Beliau tiba di hospital tanpa memakai kasut serta terdapat kesan lumpur pada pakaian akibat turut serta dalam proses mencari anaknya.

Encik Asman berkata beliau menerima panggilan daripada salah seorang rakan anaknya yang meminta beliau bergegas ke tempat kejadian.

ANAK BARU BEKERJA 2 BULAN DI M'SIA

"Ada kawan dia telefon sama saya minta ke situ. Saya tahu (mengenai kejadian) lepas keluar sembahyang Jumaat, sampai sahaja di rumah, isteri sudah menangis," katanya yang ke tempat kejadian dengan menaiki teksi dari rumah mereka di Sungai Nibong.

Encik Asman berkata beliau seorang penduduk tetap manakala anaknya arwah Samsul baru tiba dan baru bekerja di Malaysia selama dua bulan.

"Samsul dan adik beradik yang lain tinggal di Buton Tengah, Sulawesi bersama-sama nenek mereka. Samsul sahaja yang datang ke Malaysia, yang lain masih di kampung," katanya.

Kejadian tanah runtuh yang dilapor pada pukul 1.56 tengah hari semalam (19 Okt) itu sehingga kini menyebabkan empat pekerja asing maut, tiga cedera manakala tiga lagi dikhuatiri masih terperangkap dalam runtuhan tanah.

Kejadian selepas hujan lebat sejak petang Khamis (18 Okt) hingga tengah hari semalam (19 Okt) itu melibatkan runtuhan tanah di bawah kawasan kontena dan pondok kongsi di tapak pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus. 

- BERNAMA/AQ/aq

Top