Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pekan Rantau Panjang bertukar sunyi sepi dek kawalan pergerakan bersyarat

Zon Bebas Cukai Rantau Panjang yang dahulunya meriah dan menjadi tumpuan utama pelancong untuk membeli-belah kini menjadi seakan ‘pekan koboi’ sebaik Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan bermula pada Sabtu (21 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Pekan Rantau Panjang bertukar sunyi sepi dek kawalan pergerakan bersyarat

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 22 Nov 2020 03:56PM Dikemas Kini : 22 Nov 2020 04:10PM

PASIR MAS: Zon Bebas Cukai Rantau Panjang yang dahulunya meriah dan menjadi tumpuan utama pelancong untuk membeli-belah kini menjadi seakan ‘pekan koboi’ sebaik Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan bermula pada Sabtu (21 Nov).

Tinjauan Bernama hari ini (22 Nov) mendapati hampir separuh peniaga di premis atau kedai sedia ada membuat keputusan untuk tidak beroperasi kerana kekurangan pengunjung selain kebanyakan premis atau gerai kini hanya dijadikan sebagai stor menyimpan barang.

Meskipun kerajaan membenarkan aktiviti ekonomi diteruskan ketika tempoh ini, namun ia tidak menarik orang ramai untuk berkunjung sehingga rata-rata peniaga yang ditemui mengeluh kerana ada yang hilang punca pendapatan selain jualan harian terjejas sehingga tiga kali ganda namun mereka tetap akur dengan situasi semasa bagi mengelakkan penularan COVID-19.

Seorang pemilik gerai jualan makanan ringan Asmawi Iberahim @ Mohd, 39 tahun, yang sudah berniaga di pekan itu sejak 20 tahun lalu berkata suasana muram itu berlaku sejak PKP pada Mac lagi, namun ia menjadi amat ketara sejak PKPB dilaksanakan dengan jumlah pengunjung berkurangan secara mendadak dan hanya beberapa penduduk setempat sahaja yang kelihatan.

“Keadaan ketika ini amat memeritkan bagi peniaga di sini dan untuk mendapatkan pelanggan sekitar lima orang pun terlalu sukar. Ianya sekali gus menjejaskan pendapatan harian saya yang sebelum ini mampu mencecah sehingga lebih RM200 (S$65) sehari namun kini sekitar RM50 (S$16) hingga RM80 (S$26) sahaja,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga kekacang Azura Abdul Ghani, 24 tahun, berkata beliau turut mengalami nasib yang sama dengan jumlah pelanggan di Pekan Rantau Panjang boleh dihitung dengan jari dan keadaan itu tentunya sukar bagi peniaga kecil sepertinya untuk kekal bertahan.

Sebelum ini media melaporkan, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKPB di Kelantan mulai 21 Nov hingga 6 Dis berikutan peningkatan kes COVID-19 secara mendadak di beberapa daerah dan mukim di negeri ini.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan