Images
  • anwar ibrahim

Pejabat Ketua Pembangkang dinaik taraf setara Pejabat Menteri

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob menyerahkan surat pengesahan kepada Encik Anwar Ibrahim untuk menaik taraf status Pejabat Ketua Pembangkang dengan kemudahan-kemudahan yang setara dengan Pejabat Menteri.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke melalui laman akaun Facebook miliknya selepas menghadiri mesyuarat kedua Jawatankuasa Pemandu Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) pada Isnin (11 Okt).

"Sebelum mesyuarat bermula, Perdana Menteri telah menyerahkan surat pengesahan kepada Ketua Pembangkang untuk menaik taraf status Pejabat Ketua Pembangkang dengan kemudahan-kemudahan yang setara dengan Pejabat Menteri.

"Mesyuarat ini akan diadakan pada hari Isnin setiap dua minggu. Mesyuarat seperti ini membawa satu budaya politik yang baru untuk negara kita.

"Walaupun ada perbezaan politik di antara parti, kita tetap boleh duduk bersama untuk berbincang dan mencari titik persamaan demi kepentingan negara," katanya, menurut laporan Astro Awani.

Pada 13 September lalu, kerajaan Persekutuan dan PH melakar sejarah apabila buat julung-julung kalinya memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

MoU itu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Encik Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, mesyuarat itu membincangkan perkembangan pelaksanaan agenda-agenda pembaharuan yang dipersetujui bersama, lapor Astro Awani.

"Beberapa pindaan Perlembagaan Persekutuan akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen yang akan datang," jelasnya.

- Agensi berita/SM/sm

Top