Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Peguam Negara M'sia mohon perbicaraan kes Najib dipercepatkan

Peguam Negara Malaysia Tommy Thomas mahu perbicaraan kes mantan Perdana Menteri Najib Razak berhubung tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd, berjumlah RM42 juta (S$14 juta), dimulakan pada 25 Feb.

Anggaran Waktu Membaca:
Peguam Negara M'sia mohon perbicaraan kes Najib dipercepatkan

Peguam Negara Malaysia Tommy Thomas. (Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 12 Feb 2019 06:08PM Dikemas Kini : 12 Feb 2019 06:10PM

KUALA LUMPUR: Peguam Negara Malaysia Tommy Thomas mahu perbicaraan kes mantan Perdana Menteri Najib Razak berhubung tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd, berjumlah RM42 juta (S$14 juta), dimulakan pada 25 Feb.

Encik Thomas memaklumkan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Selasa (12 Feb) bahawa beliau akan menghantar sepucuk surat kepada Presiden Mahkamah Rayuan (COA) supaya dipercepatkan pendengaran rayuan Encik Najib berhubung penarikan balik sijil pemindahan tujuh pertuduhan terhadapnya oleh pihak pendakwaan.

Encik Thomas berkata pihak pendakwaan akan meminta Mahkamah Rayuan supaya menyegerakan pendengaran rayuan itu seawal mungkin dan akan menghantar surat kepada Presiden COA untuk mendapatkan tarikh pendengaran awal.

“Sekiranya mereka (pembelaan) jujur dan ikhlas dalam rayuan mereka, kenapa mereka mahu menangguhkan perbicaraan. Kami (pendakwaan) tidak mahu menangguhkan perbicaraan ini,” katanya ketika kes itu disebut di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Menurut Encik Thomas, hari ini sepatutnya merupakan hari pertama perbicaraan kes SRC Encik Najib, bagaimanapun ia ditangguhkan semalam apabila Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Encik Najib untuk menangguhkan sementara perbicaraan sehingga kes rayuannya selesai.

Encik Thomas turut memohon supaya dilapangkan tarikh perbicaraan itu, yang ditetapkan mulai hari ini sehingga 22 Feb, dan meminta mahkamah supaya mengekalkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini, iaitu dari 25 hingga 28 Feb dan 4 hingga 29 Mac.

"Kami yakin rayuan itu boleh diselesaikan sebelum minggu depan,” katanya.

Encik Mohd Nazlan menetapkan 22 Feb untuk pengurusan kes bagi pihak-pihak mengemas kini perkembangan rayuan itu di Mahkamah Rayuan.

Di luar mahkamah, peguam V. Sithambaram, yang dilantik untuk membantu pasukan pendakwaan, memberitahu pemberita bahawa pihak pendakwaan akan mengutus surat kepada Presiden Mahkamah Rayuan (COA) untuk mendapatkan tarikh pendengaran awal kerana kes itu membabitkan kepentingan awam.
"Kami harap Presiden COA akan segera menetapkan tarikh bagi pendengaran rayuan itu. Pihak pendakwaan yakin perbicaraan kes ini akan diadakan dari 25 Feb hingga penghujung Mac,” katanya.

Semalam, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Encik Najib untuk menangguhkan sementara perbicaraan sehingga selesai kes rayuannya berhubung keputusan Encik Mohd Nazlan yang membenarkan pihak pendakwaan menarik balik sijil untuk memindahkan tujuh pertuduhan SRC terhadap Encik Najib.

Encik Najib memfailkan notis rayuan pada 7 Feb lepas bersama-sama sijil kesegeraan supaya kes itu didengar dengan segera.

Pada 4 Julai tahun lepas, Anggota Parlimen Pekan berusia 66 tahun itu didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa untuk sogokan melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta (S$14 juta).

Pada 8 Ogos tahun lepas, beliau sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah dana yang sama.

Encik Najib, yang diwakili peguam Muhammad Shafee Abdullah, hadir di mahkamah hari ini. 

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan