Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pegawai peronda selamatkan lelaki dari dirempuh kereta api

Seorang pegawai peronda di Utah, Amerika Syarikat bertindak pantas menyelamatkan seorang pemandu yang tidak sedarkan diri daripada dirempuh sebuah kereta api.

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai peronda selamatkan lelaki dari dirempuh kereta api

(Petikan video daripada akaun Twitter/Utah Highway Patrol)

Diterbitkan : 17 Oct 2019 11:23PM Dikemas Kini : 17 Oct 2019 11:37PM

WASHINGTON: Seorang pegawai peronda di Utah, Amerika Syarikat bertindak pantas menyelamatkan seorang pemandu yang tidak sedarkan diri daripada dirempuh sebuah kereta api.

Rakaman video dari kamera di depan kereta polis dimuat naik ke akaun Twitter 'Utah Highway Patrol' pada Rabu (16 Okt). Ia menunjukkan pegawai peronda Ruben Correa berlari ke arah sebuah kereta yang terkandas di landasan kereta api setelah terlibat dalam kemalangan.

"Ia kelihatan seperti kenderaan itu berada di atas landasan kereta api," kata Correa semasa menghubungi balai ketika menghampiri kereta berkenaan.

"Ayuh keluar dari sini! Ada kereta api menghampiri!" teriak beliau kepada lelaki dalam kereta berkenaan sedang kereta api itu membunyikan honnya.

Correa menarik lelaki itu keluar daripada kenderaannya, beberapa saat sebelum kereta api itu merempuh kereta tersebut. Mujurlah, kedua-dua mereka tidak mengalami kecederaan dan kereta api itu kemudian berhenti.

Pegawai peronda itu sedang menjawab satu panggilan bantuan mengenai kereta yang terkandas pada landasan kereta api itu pada awal Rabu di Centerville, Utah apabila beliau terdengar bunyi kereta api itu menghampiri.

"Saya terdengar bunyi hon daripada kereta api itu, saya memandang ke kiri dan saya dapat lihat kereta api itu bergerak agak pantas, pada kelajuan antara 50 dengan 80 batu sejam," kata Correa.

"Pada waktu itu saya berasa agak bimbang... Pada waktu itu juga saya tidak berfikir panjang, saya hanya menjalankan tugas dan tumpuan utama saya adalah untuk menyelamatkan lelaki itu."

Menurut Correa, lelaki itu kelihatan seperti mengalami masalah kesihatan.

"Beliau berada dalam bahaya dan saya perlu menariknya keluar daripada kenderaan itu secepat mungkin,"

"Saya bimbang apabila melihat kereta api itu melanggar dan mengheret keretanya sekitar 30 kaki di hadapan kami. Saya kata "Oh wow. Itu lebih dekat daripada apa yang saya jangkakan," kata Correa.

Rakaman video itu sudah ditonton lebih 250,000 kali.

Sumber : AFP/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan