Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pegawai PBB sambut baik rancangan pindahkan pelarian Rohingya

Seorang pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengalu-alukan rancangan Bangladesh untuk memindahkan pelarian Rohingya dari kem-kem yang sesak di negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai PBB sambut baik rancangan pindahkan pelarian Rohingya

Pemindahan pelarian Rohingya dari kem-kem sesak di Cox's Bazar ke pulau Bhashan Char dijangka bermula bulan depan. (Gambar: Polash Shikder/AFP)

Diterbitkan : 22 Mar 2019 04:06PM Dikemas Kini : 22 Mar 2019 04:10PM

DHAKA: Seorang pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengalu-alukan rancangan Bangladesh untuk memindahkan pelarian Rohingya dari kem-kem yang sesak di negara itu, namun menegaskan sebarang langkah untuk memindahkan sekitar 100,000 daripada mereka ke sebuah pulau yang kerap banjir perlu dibuat atas dasar sukarela.

Penolong pesuruhjaya tinggi di agensi pelarian PBB, Volker Turk, berkata pada Khamis (21 Mac) bahawa kem di tenggara Kutupalong, yang merupakan yang terbesar di dunia dan kini menempatkan kira-kira 600,000 pelarian Rohingya dari Myanmar, kini penuh sesak.

"Jika anda pernah ke Kutupalong atau kem-kem lain di kawasan Cox's Bazar, amat jelas terdapat kesesakan teruk," pegawai UNHCR itu memberitahu para wartawan di Dhaka di akhir lawatan lima hari ke negara itu.

"Maka itu kami mengalu-alukan keputusan pemerintah Bangladesh untuk ambil langkah aktif mencari tempat alternatif (bagi pelarian Rohingya)".

Beliau menambah bahawa PBB masih dalam "rundingan" dengan pihak berkuasa Bangladesh berhubung pemindahan pelarian ke pulau Bhashan Char di Teluk Benggala, namun berkata para pelarian mesti berpindah secara sukarela dan mesti dapat meneruskan "cara hidup" mereka di sana.

Agensi bantuan antarabangsa termasuk seorang pegawai PBB pada Januari menyuarakan kebimbangan tentang keselamatan di pulau itu semasa musim tengkujuh.

Ratusan ribu terkorban di Bangladesh akibat ribut taufan sepanjang 50 tahun lalu, kebanyakannya di kawasan pantai.

Seorang menteri kanan Bangladesh minggu lalu berkata proses pemindahan pelarian ke pulau tersebut, yang terletak sejam perjalanan dari tanah besar, akan bermula bulan depan setelah hampir selesainya kerja-kerja binaan.

Para pegawai tempatan menarik perhatian kepada benteng setinggi tiga meter sekeliling pulau itu yang dikatakan dapat melindunginya dari dipukul badai semasa cuaca ribut.

Sumber : AFP/TQ/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan