Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pecah amanah: Bekas pembantu tadbir dijel 4 tahun, dikenakan 146 sebatan

 Seorang bekas pembantu tadbir Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (Tapem), dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan dikenakan 146 sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini (14 Nov) kerana melakukan pecah amanah dana biasiswa pelajar sekolah bernilai lebih RM2.4 juta (S$787,000).

Anggaran Waktu Membaca:
Pecah amanah: Bekas pembantu tadbir dijel 4 tahun, dikenakan 146 sebatan

(Gambar hiasan: Channel NewsAsia)

Diterbitkan : 13 Nov 2019 06:43PM Dikemas Kini : 13 Nov 2019 06:47PM

MELAKA: Seorang bekas pembantu tadbir Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (Tapem), dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan dikenakan 146 sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini (14 Nov) kerana melakukan pecah amanah dana biasiswa pelajar sekolah bernilai lebih RM2.4 juta (S$787,000).

Hakim Mohd Nasir Nordin menjatuhi hukuman itu terhadap Mohd Hanafi Ismail, 31 tahun selepas tertuduh mengaku bersalah atas 146 pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa, yang mengambil masa hampir dua jam.

Encik Mohd Nasir menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan untuk setiap pertuduhan, namun memerintahkan hukuman penjara itu dijalankan serentak, iaitu tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara selama empat tahun.

Bagaimanapun hukuman sebatan ke atas tertuduh kekal satu sebatan bagi setiap pertuduhan.

Dalam penghakimannya, Encik Mohd Nasir menasihati tertuduh yang masih bujang supaya bertaubat dan memulangkan kembali wang yang dicuri kepada kerajaan Malaysia.

Tertuduh menerusi peguamnya, Encik Emirul Sarifudin Nor Azmi merayu hukuman ringan dan memberitahu dia telah insaf dan mengalami trauma serta mimpi ngeri akibat perbuatannya itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Encik Irwan Shah Abdul Samat, Encik Nik Haslinie Hashim dan Cik Nur Syakila Yaakob.

Pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman sewajarnya, mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius membabitkan jumlah yang sangat tinggi.

Mengikut pertuduhan, Mohd Hanafi yang ketika itu bertugas sebagai pembantu tadbir dan mempunyai penguasaan harta iaitu peruntukan biasiswa pelajar sekolah di negeri ini melakukan pecah amanah jenayah berkaitan harta terbabit apabila menyalahgunakannya.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Unit Kewangan TAPEM di Bangunan Kota Cemerlang di sini, antara 23 Jan 2017 dan 21 Dis tahun lepas, mengikut Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, sebat dan denda.

Mengikut fakta kes, Mohd Hanafi yang ketika itu bertugas sebagai kerani, lantikan kontrak perjawatan pembantu tadbir, menyalahgunakan harta dengan memasukkan peruntukan biasiswa pelajar ke dalam pelbagai akaun bank miliknya, perniagaannya, rakan dan keluarga sepanjang tempoh berkenaan. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan