Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PDRM tumpaskan sindiket pengedaran dadah lebih RM26 juta

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah dengan rampasan terbesar tahun ini, melebihi setengah tan yang bernilai RM26.1 juta (S$8.7 juta).

Anggaran Waktu Membaca:
PDRM tumpaskan sindiket pengedaran dadah lebih RM26 juta

Lebih 500 kilogram yang dipercayai syabu dan pil ekstasi dirampas PDRM. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 23 Aug 2018 06:21PM Dikemas Kini : 23 Aug 2018 06:23PM

GEORGE TOWN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah dengan rampasan terbesar tahun ini, melebihi setengah tan yang bernilai RM26.1 juta (S$8.7 juta).

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Kang Chez Chiang berkata polis merampas 486 bungkusan dadah disyaki syabu dan pil ekstasi dengan anggaran berat melebihi 500 kilogram menerusi beberapa serbuan di sekitar George Town sejak dua hari lalu.

Encik Kang berkata empat lelaki tempatan berusia antara 35 hingga 59 tahun yang disyaki anggota sindiket pengedaran dadah itu turut ditahan dalam serbuan di Bayan Baru, Gelugor dan Jelutong pada Selasa lalu (21 Ogos).

"Dalam serbuan pertama di Bayan Baru, dua lelaki tempatan ditahan dan 159 bungkusan dadah yang dibalut menggunakan pembungkus teh dari China disyaki syabu dirampas.

"Hasil siasatan juga membawa polis ke lokasi serbuan kedua di Jelutong di mana polis menahan seorang lelaki dipercayai pengedar," katanya.

Tambahnya, hasil siasatan awal mendapati Malaysia hanya dijadikan lokasi transit untuk sindiket berkenaan yang menyeludup bahan larangan itu melalui sempadan untuk pasaran antarabangsa.

Bertindak atas risikan, Encik Kang berkata polis menyerbu dua buah rumah kediaman dijadikan stor menyimpan dadah di kawasan Island Glades, Gelugor di mana 314 bungkusan syabu dan 13 bungkusan pil ekstasi dirampas dan seorang lelaki tempatan dipercayai penjaga stor turut ditahan.

Turut dirampas dalam beberapa serbuan berkenaan adalah tiga buah kenderaan, wang tunai, pelbagai barang kemas dan seutas jam tangan bernilai RM147,000 (S$49,000).

Dalam pada itu, Encik Kang berkata sejak awal tahun sehingga 16 Ogos lalu, PDRM berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM127.8 juta (S$42.6 juta) hasil kerjasama erat pihak berkuasa negara jiran.

Beliau berkata dalam tempoh yang sama, lebih 104,000 orang ditahan kerana pelibatan mereka dalam barangan larangan itu dan sebanyak RM47.62 juta (S$15.9 juta) nilai harta disita.

"Antara jenis dadah yang paling banyak dirampas dalam tempoh berkenaan ialah syabu sebanyak 2.1 tan termasuk hari ini dan pil ekstasi sebanyak 107 kilogram," katanya. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan