Images
  • malaysia police
    Gambar fail logo Polis Diraja Malaysia. (Gambar: AFP/Saeed Khan)

PDRM kerjasama dengan pihak berkuasa jabatan agama kekang fahaman Syiah

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengekang kegiatan penyebaran fahaman Syiah di negara itu.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata pihaknya mempunyai maklumat berhubung perkara berkenaan dan yakin ia dapat ditangani dengan sebaiknya.

“Ini satu tindakan tidak bertanggungjawab,” katanya ketika diminta mengulas mengenai tindakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai ‘Who Is Hussain’ yang menyebarkan risalah dipercayai ajaran Syiah di sekitar Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara dan Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini (15 Mei).

Apabila ditanya sama ada pihaknya menerima laporan berhubung kegiatan NGO berkenaan, Encik Abdul Hamid berkata pihaknya akan menyemak perkara itu dan meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan.

Baru-baru ini, tular di media sosial beberapa gambar menunjukkan sekumpulan individu melakukan aktiviti penyebaran risalah ‘Who Is Hussain?’ kepada orang ramai secara terbuka. Ia bertujuan meminta orang awam melawat laman web yang menjadi doktrin ajaran Syiah.

PERLINDUNGAN TAMBAHAN DIMINTA UNTUK WAYTHA MOORTHY

Sementara itu, Encik Abdul Hamid menyeru masyarakat setempat supaya mengamalkan sikap bersederhana dalam tindakan untuk memperjuangkan hak masing-masing, yang melibatkan kaum dan agama, bagi mengelak tindak balas radikal mahupun ekstrim.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung permintaan Hindraf supaya mempertimbangkan untuk memberi perlindungan keselamatan tambahan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy.

“Kita ada NGO yang perjuangkan kepentingan masing-masing. Ambil pendekatan sederhana, fahami serta sensitif supaya dapat elak situasi yang boleh cetuskan provokasi oleh individu yang ekstrim dan radikal dalam pendirian mereka.

“Polis tegas dalam mengambil tindakan terhadap semua bentuk keganasan tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang politik,” kata beliau.

HINDRAF LAHIR RASA BIMBANG

Semalam, Hindraf mengutuskan penghargaan ke atas kejayaan PDRM dalam mematahkan serangan pengganas dan pembunuhan baru-baru ini. Namun pada masa sama, menerusi kenyataannya juga, meminta Encik Abdul Hamid mempertimbangkan untuk menyediakan perlindungan keselamatan tambahan kepada Encik Waytha Moorthy.

Penasihat undang-undang Hindraf, Karthig Shan, dilaporkan berkata ia membimbangkan mereka apabila pengganas yang ditahan awal bulan ini mempunyai niat untuk membunuh beberapa personaliti berprofil tinggi berikutan dakwaan bahawa kononnya mereka gagal menjiwai Islam dan mempersendakan agama itu.

Beliau berkata penyokong Hindraf amat bimbang kerana sebelum ini terdapat serangan ke atas Encik Waytha Moorthy di pejabatnya pada 16 Ogos 2017.

Ini di samping Encik Waytha Moorthy pernah menjadi sasaran ketika perhimpunan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskrimininasi Kaum (ICERD) serta dijadikan kambing hitam membabitkan isu rusuhan kuil Seafield dan seterusnya kematian anggota bomba Muhammad Adib Kassim. 

- BERNAMA/FZ/fz

Top