Images
  • afghanistan pakistan border
    Seorang lelaki Afghan mendukung anaknya di lintasan sempadan Pakistan-Afghanistan pada 13 Ogos 2021 setelah Taliban tawan bandar berhampiran (Gambar: AFP)

PBB sasar bantuan AS$600 juta demi elak krisis kemanusiaan di Afghanistan

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan persidangan di Geneva pada Isnin (13 Sep) bagi mengumpul dana lebih AS$600 juta (S$805.55 juta) untuk Afghanistan, sambil memberi amaran tentang krisis kemanusiaan yang boleh berlaku di negara itu selepas Taliban mengambil alih tampuk kepimpinan negara itu.

Bahkan sebelum Taliban menakluki Kabul bulan lalu, separuh penduduk Afghanistan - atau 18 juta orang - bergantung kepada bantuan. Perangkaan itu dijangka akan meningkat akibat kemarau dan kekurangan wang tunai dan makanan, menurut amaran para pegawai PBB dan kumpulan-kumpulan bantuan kemanusiaan.

Sumbangan derma bernilai jutaan dolar yang dihentikan secara mengejut menyusuli kejatuhan pemerintah Afghanistan yang disokong oleh Barat dan kemenangan Taliban, meningkatkan lagi tekanan terhadap program-program PBB.

Sungguhpun demikian, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menegaskan bahawa pertubuhan tersebut turut tergapai-gapai untuk mengumpul dana: "Buat masa ini, PBB bahkan tidak dapat membayar gaji kakitangannya sendiri," katanya kepada para wartawan pada Jumaat.

Persidangan di Geneva, yang dijadual bermula pada petang Isnin, akan dihadiri oleh pegawai-pegawai tertinggi PBB termasuk Encik Guterres, ketua Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa Peter Maurer, serta puluhan wakil pemerintah termasuk Menteri Luar Jerman Heiko Maas.

Kira-kira sepertiga daripada AS$606 juta (S$813.6 juta) yang cuba dikumpulkan akan digunakan oleh Program Makanan Dunia PBB, yang mendapati 93 peratus daripada 1,600 rakyat Afghanistan yang ditinjau pada Ogos dan September tidak mendapat makanan yang mencukupi. Ini sebahagian besarnya kerana mereka tidak memiliki wang tunai untuk membayarnya.

"Kita kini sedang mengejar masa dan (musim sejuk) salji untuk menghulurkan bantuan bagi menyelamatkan nyawa rakyat Afghanistan yang sangat memerlukannya," kata timbalan pengarah serantau WFP Anthea Webb. "Kami ibarat meminta dan meminjam semata-mata untuk mengelakkan kehabisan bekalan makanan."

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebuah lagi agensi PBB yang turut merayu bantuan, sedang berusia menyediakan beratus-ratus kemudahan kesihatan yang berisiko ditutup setelah para penderma menarik diri.

- Reuters/TQ/tq

Top