Images
  • UN Security council
    Gambar fail sebuah mesyuarat Majlis Keselamatan PBB. (Gambar: DON EMMERT/AFP)

PBB luluskan sekatan baru terhadap Korea Utara; hadkan bekalan minyak

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebulat suara meluluskan sekatan-sekatan baru ke atas Korea Utara.

Sekatan-sekatan baru itu yang diusulkan Amerika Syarikat akan menghadkan bekalan minyak yang dianggap penting bagi menampung program nuklear Pyongyang.

Di bawah sekatan baru itu, hampir 90 peratus produk minyak akan diharamkan dieksport ke Korea Utara.

Bekalan minyak mentah akan dihadkan kepada empat juta tong setahun, tetapi negara-negara pengeksport perlu mendapatkan kebenaran daripada PBB.

PBB juga mengenakan sekatan ke atas rakyat Korea Utara yang bekerja di luar negara.

Washington memberi amaran lebih banyak sekatan akan dilaksanakan jika Pyongyang melakukan satu lagi ujian peluru berpandu.

Ketetapan tersebut turut mendapat undi sokong daripada China dan Rusia, dua rakan dagangan utama Korea Utara.

Wakil China ke PBB menggesa Korea Utara supaya mematuhi ketetapan-ketetapan PBB dan jangan melakukan lagi ujian peluru berpandu.

Timbalan Duta Rusia juga menggesa Korea Utara supaya menghentikan ujian nuklear dan peluru berpandu demi memulihkan keamanan di Semenanjung Korea. 

- AFP/MM/sm

Top