Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PBB lancar rayuan dana AS$565 juta untuk bantu Lubnan pulih dari letupan

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melancarkan rayuan dana pada Jumaat (14 Ogos) untuk mengumpulkan AS$565 juta (S$774.50 juta) bagi membantu Lubnan pulih daripada letupan dahsyat di pelabuhannya bulan ini yang mengorbankan 171 orang.

Anggaran Waktu Membaca:
PBB lancar rayuan dana AS$565 juta untuk bantu Lubnan pulih dari letupan

(Gambar: Thibault Camus/Pool via REUTERS)

Diterbitkan : 15 Aug 2020 07:53AM Dikemas Kini : 15 Aug 2020 07:54AM

AMERIKA SYARIKAT: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melancarkan rayuan dana pada Jumaat (14 Ogos) untuk mengumpulkan AS$565 juta (S$774.50 juta) bagi membantu Lubnan pulih daripada letupan dahsyat di pelabuhannya bulan ini yang mengorbankan 171 orang.

Menurut satu kenyataan PBB, dana tersebut akan digunakan untuk menyokong Lubnan sedang ia beralih daripada bantuan kemanusiaan segera untuk menyelamatkan nyawa ke arah membangunkan kembali ekonominya yang musnah.

"Tugas membina semula kehidupan rakyat dan pulih daripada kemusnahan baru sahaja bermula," kata Najat Rochdi, penyelaras kemanusiaan PBB untuk Lubnan.

"Saya menggesa masyarakat antarabangsa untuk menunjukkan komitmen kukuh mereka kepada rakyat Lubnan dan membalas kemurahan hati luar biasa Lubnan kepada pelarian Syria dan Palestin dengan sepenuh sokongan kewangan untuk rayuan ini," tambahnya.

Letupan pada 4 Ogos meranapkan kawasan-kawasan kejiranan, menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal, merosakkan puluhan hospital dan klinik serta memusnahkan lebih 100 sekolah.

Ia juga mencederakan sekurang-kurangnya 6,500 penduduk.

Letupan itu disebabkan oleh sejumlah besar bahan berbahaya yang disimpan di sebuah gudang dan dituduh ramai pihak disebabkan oleh amalan rasuah pemerintah.

Kejadian itu berlaku sedang Lubnan mengalami kesan teruk akibat krisis ekonomi, dengan inflasi tidak terkawal dan kawalan modal bank yang mencetuskan kemiskinan, kemarahan dan bantahan jalanan.

Para anggota kabinet meletak jawatan minggu ini di tengah-tengah kemarahan berhubung letupan dahsyat itu.

Kuasa-kuasa Barat menggesa para pemimpin Lubnan untuk melaksanakan perubahan mendalam dan sebuah pemerintah yang mencerminkan keinginan rakyat, serta menegaskan agar pembaharuan dilakukan agar bantuan antarabangsa berbilion dolar dapat disalurkan.

PBB menyatakan, dana rayuannya akan menumpukan kepada usaha meningkatkan jaminan makanan, membantu pembangunan semula hospital dan sekolah yang rosak serta menyediakan wang tunai untuk tempat perlindungan bagi keluarga yang kehilangan tempat tinggal.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan