Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PBB 'kutuk keras' rampasan kuasa tentera Myanmar

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengutuk "sekeras-kerasnya" tindakan tentera Myanmar melakukan rampasan kuasa serta menahan pemimpin negara itu, termasuk Aung San Suu Kyi, pagi tadi.

Anggaran Waktu Membaca:
PBB 'kutuk keras' rampasan kuasa tentera Myanmar

Gambar fail Presiden Myanmar Win Myint (kiri) dan Penasihat Negeri Aung San Suu Kyi (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 01 Feb 2021 02:22PM Dikemas Kini : 01 Feb 2021 02:28PM

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengutuk "sekeras-kerasnya" tindakan tentera Myanmar melakukan rampasan kuasa serta menahan pemimpin negara itu, termasuk Aung San Suu Kyi, pagi tadi.

"Setiausaha Agung PBB mengutuk keras penahanan Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi, Presiden U Win Myint dan pemimpin politik lain, sehari sebelum parlimen negara itu sepatutnya bersidang," kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.

"Pergolakan politik terbaru ini adalah satu tamparan serius kepada pemulihan politik di Myanmar."

Encik Dujarric berkata pilihan raya pada November lalu telah memberi parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), pimpinan Cik Suu Kyi, mandat kukuh dan jelas "mencerminkan keinginan penduduk Mynmar untuk terus menjalani pemulihan demokratik".

Kenyataan itu juga meminta tentera supaya "menghormati keputusan rakyat" dan mematuhi norma demokratik, dengan sebarang perbezaan pandangan perlu diselesaikan menerusi rundingan secara aman".

"Semua pemimpin Myanmar harus bertindak demi kepentingan pemulihan demokrasi, melaksanakan dialog yang bermakna, mencegah keganasan dan menghormati sepenuhnya hak asasi dan kebebasan manusia, "kata kenyataan itu.

Majlis Keselamatan PBB sebelum ini merancang mengadakan satu pertemuan bersama utusan khas PBB ke negara itu, Christine Schraner Burgener, Khamis ini, menurut diplomat.

Sesi itu dijangka dipercepatkan selepas mengambil kira krisis politik di Myanmar, kata seorang diplomat kepada AFP dengan syarat tidak mahu disebutkan namanya.

Cik Suu Kyi yang juga Pengerusi NLD dan Presiden Win Myint dan beberapa pemimpin kanan NLD ditahan tentera di Naypyidaw, pagi tadi (1 Feb).

Penahanan itu dibuat seminggu selepas Panglima Angkatan Tentera Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing, mengumumkan tidak menolak kemungkinan rampasan kuasa akan berlaku bagi memansuhkan Perlembagaan negara itu, sekali gus menangani krisis politik itu.

Sejak beberapa minggu lalu, tentera Myanmar menuduh berlaku penipuan dalam pilihan raya umum November lalu, yang menyaksikan NLD pimpinan Suu Kyi menang besar.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan