Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PBB kutuk junta Myanmar setelah 2 penunjuk perasaan maut

Kematian dua penunjuk perasaan anti rampasan kuasa tentera di Myanmar mencetuskan kecaman baru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap rejim tentera tersebut hari ini.

Anggaran Waktu Membaca:
PBB kutuk junta Myanmar setelah 2 penunjuk perasaan maut

Para penunjuk perasaan di Yangon pada 21 Feb 2021. (Gambar: AFP/Sai Aung Main)

Diterbitkan : 21 Feb 2021 05:18PM Dikemas Kini : 21 Feb 2021 05:23PM

YANGON: Kematian dua penunjuk perasaan anti rampasan kuasa tentera di Myanmar mencetuskan kecaman baru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap rejim tentera tersebut hari ini (21 Feb).

Ini sedang orang ramai membuat persiapan untuk menyemadikan mayat seorang wanita muda yang menjadi lambang tentangan kebangsaan terhadap junta tentera.

Pihak berkuasa secara beransur-ansur meningkatkan kekerasan terhadap peserta tunjuk perasaan besar-besaran yang sebahagiannya dijalankan secara aman, mendesak tentera melepaskan pemimpin Aung San Suu Kyi yang digulingkan pada 1 Februari lalu.

Semalam (20 Feb) menandakan hari paling berdarah dalam tempoh lebih dua minggu tunjuk perasaan besar-besaran diadakan di negara itu, apabila pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah orang ramai di Mandalay, menyebabkan mereka lari bertempiaran dalam ketakutan.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, mengutuk tindakan "kekerasan" tentera Myanmar dalam keadaan huru-hara itu, yang menurut para petugas kecemasan, menyebabkan seorang remaja terbunuh dan puluhan yang lain cedera.

"Penggunaan kekerasan, perbuatan menakut-nakutkan dan penindasan ke atas penunjuk perasaan yang melakukannya secara aman tidak boleh diterima sama sekali," tulis Encik Guterres.

Pertempuran itu berlaku apabila pasukan keselamatan di Mandalay, bandar kedua terbesar di Myanmar yang juga ibu kota kebudayaan negara itu, cuba menyerbu sebuah limbungan kapal dan menahan kakitangan pelabuhan yang melancarkan mogok sebagai menentang tentera mengambil alih kuasa.

Para pekerja penyelamat perubatan berkata pasukan tentera melepaskan tembakan peluru hidup dan peluru getah ke arah orang ramai yang mula membaling batu dalam usaha menghentikan penangkapan orang awam.

"Dua orang terbunuh," kata ketua pasukan penyelamat kecemasan sukarelawan yang berpusat di Mandalay, Hlaing Min Oo.

Lagi 30 orang cedera, dengan separuh daripada mereka cedera akibat tembakan peluru hidup yang dilepaskan," tambah beliau.

Satu rakaman video yang dimuat naik ke laman Facebook menunjukkan seorang remaja, terkulai di lantai dan berdarah pada bahagian kepala sedang seorang yang berada di situ dilihat meletakkan tangannya pada bahagian dada remaja itu memeriksa degupan jantung.

Media tempatan melaporkan puluhan orang ditahan menyusuli pertempuran itu.

Akhbar negara, The Global New Light of Myanmar, bagaimanapun tidak melaporkan kematian tersebut tetapi menyalahkan para penunjuk perasaan atas pertempuran tersebut sambil menyatakan para pemimpin tunjuk perasaan sudah ditahan.

"Sebahagian penunjuk perasaan yang bersikap agresif juga cedera akibat langkah-langkah keselamatan yang dijalankan oleh pasukan keselamatan, yang dilaksanakan mengikut undang-undang," menurut laporan itu.

Di ibu kota Naypidaw pula, satu upacara persemadian sedang dijalankan bagi seorang penunjuk perasaan muda yang maut pada Jumaat lalu (19 Feb) setelah ditembak mati pada bahagian kepala semasa perhimpunan minggu lalu.

Mya Thwate Thwate Khaing, yang baru berusia 20 tahun pada Khamis lalu (18 Feb) terlantar tidak sedarkan diri di hospital, menjadi lambang penting kempen menentang pemerintahan tentera.

Para penunjuk perasaan mengibarkan gambarnya semasa berarak di jalan-jalan raya. Malah, mereka turut membentang kain rentang yang besar di atas jambatan di Yangon sebagai memaparkan detik Khaing ditembak.

Sumber : AFP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan