Images
  • ship (2)
    (Gambar: AFP)

PBB gesa Iran, Israel 'kawal diri' susuli letupan kapal milik Iran

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meminta semua pihak di Timur Tengah 'mengawal diri' selepas berlaku letupan di atas sebuah kapal milik Iran di Laut Merah.

Laporan-laporan media membayangkan serangan itu mungkin dilancarkan oleh Israel.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, berkata walaupun masih belum jelas, semua negara terbabit harus mengelakkan sebarang tindakan yang mungkin akan memburukkan lagi keadaan.

"Kejadian ini adalah yang keempat di wilayah ini dalam tempoh hanya sebulan," katanya lagi.

Tehran mengumumkan bahawa "kapal komersial Iran", MV Saviz, meletup ketika berada di perairan Djibouti pada pagi Selasa.

Agensi berita Iran, Tasnim, melaporkan bahawa kapal Saviz mengalami kerosakan disebabkan oleh "periuk api".

Adalah difahamkan, kapal itu sudah dikerahkan di Laut Merah selama beberapa tahun "sebagai sokongan kepada pasukan komando Iran yang dikerahkan untuk mengiringi kapal-kapal komersil".

The New York Times menukil seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) sebagai berkata Israel memberitahu Washington bahawa ia menyerang kapal itu sebagai "tindak balas terhadap serangan yang dilancarkan oleh Iran terhadap kapal-kapal Israel sebelum ini."

Sejak awal Mac, Iran dan Israel saling tuduh- menuduh melancarkan serangan terhadap kapal satu sama lain.

Bagaimanapun, tiada reaksi segera dari pihak berkuasa Israel berhubung laporan The New York Times.

Letupan berlaku pada waktu sensitif ketika Presiden Amerika Syarikat Joe Biden sedang berusaha untuk menyambung semula perjanjian nuklear 2015 dengan Iran yang mantan presiden, Donald Trump, memutuskan untuk menarik diri.

- AFP/NA/na

Top