Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PBB dedah 350,000 terkorban dalam perang Syria, jumlah sebenar lebih tinggi

ekurang-kurangnya 350,209 orang terbunuh dalam perang selama sedekad di Syria, menurut pejabat hak asasi manusia PBB pada Jumaat (24 Sep), sambil menambah bahawa perangkaan itu adalah "kiraan lebih rendah" berbanding kematian sebenar.

Anggaran Waktu Membaca:
PBB dedah 350,000 terkorban dalam perang Syria, jumlah sebenar lebih tinggi

Gambar fail seorang anggota bomba menyelamatkan kanak-kanak cedera susuli serangan di Damsyik, Syria pada 6 Jan 2018 (Gambar: REUTERS/Bassam Khabieh)

Diterbitkan : 25 Sep 2021 10:20AM Dikemas Kini : 25 Sep 2021 10:30AM

GENEVA: Sekurang-kurangnya 350,209 orang terbunuh dalam perang selama sedekad di Syria, menurut pejabat hak asasi manusia PBB pada Jumaat (24 Sep) dalam laporan pertamanya sejak 2014 mengenai angka korban, sambil menambah bahawa perangkaan itu adalah "kiraan lebih rendah" berbanding kematian sebenar.

Jumlah itu merangkumi orang awam dan anggota bersenjata dan berdasarkan kaedah kiraan ketat yang memerlukan nama lengkap korban, serta tarikh dan lokasi kematian.

"Berdasarkan ini, kami telah mengumpulkan senarai 350,209 individu yang dikenal pasti terbunuh dalam konflik di Syria antara Mac 2011 hingga Mac 2021," kata Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia Michelle Bachelet kepada Majlis Hak Asasi Manusia.

Satu daripada setiap 13 mangsa adalah wanita atau kanak-kanak, katanya.

"Ini menunjukkan jumlah minimum yang dapat disahkan, dan tentunya merupakan jumlah lebih rendah berbanding angka sebenar," tambahnya.

Pejabat beliau sedang mengusahakan model statistik untuk memberikan gambaran lebih lengkap, yang juga dapat membantu mewujudkan kebertanggungjawapan atas sebahagian pembunuhan, katanya.

Jumlah pembunuhan terbesar sebanyak 51,731, dicatat di Aleppo, yang sekian lama dikuasai oleh pembangkang, yang menjadi titik panas dalam konflik itu.

Perang itu, yang tercetus dari pemberontakan terhadap pemerintahan Presiden Bashar al-Assad, menyebabkan krisis pelarian terbesar di dunia. Negara-negara jiran Syria menampung 5.6 juta pelarian, sementara negara-negara Eropah menempatkan lebih 1 juta.

Presiden Assad berjaya menguasai semula sebahagian besar Syria, tetapi wilayah-wilayah yang penting tetap berada di luar kawalannya: Pasukan Turki dikerahkan di sebahagian besar wilayah utara dan barat laut - kubu pemberontak anti-Assad - manakala pasukan Amerika Syarikat ditempatkan di timur dan timur laut yang dikuasai puak Kurdi.

Cik Bachelet berkata kemas kini pejabatnya pada Ogos 2014, melaporkan sekurang-kurangnya 191,369 orang terbunuh dalam perang tersebut.

Kumpulan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia menyatakan 500,000 orang terbunuh dalam perang itu dan ia sedang menyemak lagi 200,000 kes.

"Sangat sukar untuk memberikan statistik yang dekat dengan kenyataan," kata Rami Abdurrahman, pengarah kumpulan yang berpangkalan di Britain itu, kepada Reuters di Beirut. "Ada banyak nama dan harus ada dokumentasi untuk memastikannya."

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan