Images
  • afghanistan pakistan border
    Seorang lelaki Afghan mendukung anaknya di lintasan sempadan Pakistan-Afghanistan pada 13 Ogos 2021 setelah Taliban tawan bandar berhampiran (Gambar: AFP)

PBB berjaya kumpul ikrar bantuan kemanusiaan AS$1 bilion bagi rakyat Afghanistan

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berjaya mengumpulkan ikrar AS$1 bilion (S$1.34 bilion) untuk membantu 11 juta rakyat Afghanistan yang berdepan dengan krisis kemanusiaan.

Ikrar oleh negara-negara barat dan penyumbang besar tradisi di sidang peringkat tinggi yang pertama sejak kumpulan Taliban mengambi alih bulan lalu itu, mengatasi sasaran AS$606 juta (S$813.4 juta) sebelum ini.

Namun Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menyeru masyarakat dunia agar berhubungan dengan Taliban sebagai satu cara untuk melindungi hak kemanusiaan di Afghanistan.

"Bantuan kemanusiaan sejajar dengan prinsip-prinsip kemanusiaan - bantuan kemanusiaan tidak mematuhi strategi politik. Menurut pandangan saya, jika kita mahu melindungi hak kemanusiaan warga Afghanistan, cara terbaik adalah meneruskan bantuan kemanusiaan dan mendekati Taliban untuk memastikan hak-hak tersebut dilaksanakan," kata Encik Guterres.

Masih tidak jelas berapa banyak ikrar tersebut akan disalurkan kepada PBB.

Namun sebelum Taliban mengambil alih Afghanistan, sekitar 18 juta orang sudahpun bergantung kepada bantuan.

Menurut PBB, semakin ramai orang yang masih cuba keluar dari sempadan Afghanistan meskipun laporan keganasan semakin berkurangan.

Barisan di luar bank pula terus berpanjangan dengan kakitangan perkhidmatan awam, belum dibayar gaji sejak Julai lalu.

- Agensi berita/AA/tq

Top