Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PBB beri amaran sistem perbankan Afghanistan berdepan keruntuhan 'dahsyat'

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini (22 Nov) menggesa tindakan segera untuk menyokong bank-bank Afghanistan, sambil memberi amaran bahawa keruntuhan sistem kewangan negara itu boleh berlaku hanya dalam tempoh beberapa bulan sahaja.

Anggaran Waktu Membaca:
PBB beri amaran sistem perbankan Afghanistan berdepan keruntuhan 'dahsyat'

Gambar fail orang awam di Kabul, Afghanistan pada 26 Okt 2021. (Gambar: BULENT KILIC/AFP)

Diterbitkan : 22 Nov 2021 04:04PM Dikemas Kini : 22 Nov 2021 04:09PM

PBB: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini (22 Nov) menggesa tindakan segera untuk menyokong bank-bank Afghanistan.

Ia memberi amaran bahawa lonjakan dalam jumlah orang yang tidak dapat membayar balik pinjaman, deposit yang lebih rendah dan masalah kecairan tunai, boleh menyebabkan keruntuhan sistem kewangan hanya dalam tempoh beberapa bulan sahaja.

Dalam laporan tiga muka surat mengenai sistem perbankan dan kewangan Afghanistan yang dilihat oleh Reuters, Program Pembangunan PBB (UNDP) menyatakan kesan ekonomi akibat keruntuhan sistem perbankan - serta kesan negatif sosial - "akan menjadi sangat dahsyat".

Kebanyakan sokongan pembangunan asing yang ditarik balik secara mendadak

selepas Taliban mengambil alih kuasa daripada pemerintah Afghanistan yang disokong Barat pada 15 Ogos, menyebabkan ekonomi merudum, meletakkan tekanan teruk ke atas sistem perbankan yang menetapkan had pengeluaran mingguan untuk mengelak deposit dikeluarkan serentak orang ramai.

"Sistem kewangan dan pembayaran bank Afghanistan berada dalam keadaan kucar-kacir. Masalah orang ramai yang bergegas ke bank untuk mengeluarkan deposit mesti diselesaikan dengan segera untuk meningkatkan kapasiti terhad pengeluaran Afghanistan dan mengelak sistem perbankan daripada runtuh," menurut laporan UNDP.

Mencari jalan keluar untuk mengelak keruntuhan dirumitkan lagi oleh sekatan-sekatan antarabangsa dan sehala ke atas para pemimpin Taliban.

"Kita perlu mencari jalan untuk memastikan bahawa jika kita menyokong sektor perbankan, kita tidak menyokong Taliban," kata Abdallah al Dardari, ketua UNDP di Afghanistan, kepada Reuters.

Sistem perbankan Afghanistan sudahpun terdedah kepada risiko sebelum Taliban mengambil alih kuasa. Namun sejak itu tiada bantuan pembangunan, berbilion dolar aset Afghanistan dibekukan di luar negara dan PBB serta kumpulan-kumpulan bantuan kini bergelut untuk membawa masuk wang tunai yang mencukupi ke negara itu.

"Penyelarasan dengan Institusi-Institusi Kewangan Antarabangsa, dengan pengalaman luas mereka dalam sistem kewangan Afghanistan, adalah kritikal untuk proses ini," tambah UNDP dalam laporannya, merujuk kepada Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa.

PBB sudah berulang kali memberi amaran sejak Taliban mengambil alih bahawa ekonomi Afghanistan berada di ambang kemusnahan yang mungkin akan mengeruhkan lagi krisis pelarian. UNDP menyatakan jika sistem perbankan gagal, ia boleh mengambil masa beberapa dekad untuk dibangunkan semula.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan