Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PBB 'amat prihatin' tentang keganasan Israel-Palestin

Pejabat hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa (11 Mei) menyatakan ia "sangat prihatin" tentang keganasan yang memuncak di wilayah Palestin yang ditakluki, timur Baitulmakdis dan Israel.

Anggaran Waktu Membaca:
PBB 'amat prihatin' tentang keganasan Israel-Palestin

Para anggota medik Palestin mengusung seorang mangsa yang tercedera semasa pertempuran antara pasukan keselamatan Israel dengan penunjuk perasaan Palestin di pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmakdis pada 10 Mei. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 11 May 2021 11:14PM Dikemas Kini : 11 May 2021 11:15PM

GENEVA: Pejabat hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa (11 Mei) menyatakan ia "sangat prihatin" tentang keganasan yang memuncak di wilayah Palestin yang ditakluki, timur Baitulmakdis dan Israel.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia merayu situasi tenang menyusuli pergolakan selama beberapa hari.

Ketegangan di Baitulmakdis mencetuskan keadaan kacau-bilau yang terburuk di bandar itu sejak 2017, apabila polis anti-rusuhan Israel bertempur dengan para jemaah Palestin pada Jumaat terakhir dalam bulan Ramadan.

Israel dan Hamas saling berbalas serangan pada Selasa, dengan sekurang-kurangnya 25 penduduk Palestin terbunuh di Gaza.

"Kami benar-benar prihatin terhadap keganasan yang memuncak di wilayah Palestin yang ditakluki, termasuk timur Baitulmakdis dan Israel dalam beberapa hari lalu," kata Encik Rupert Colville, jurucakap bagi pejabat ketua hak asasi PBB Michelle Bachelet kepada wartawan di Geneva.

"Kami mengutuk semua serangan dan semua hasutan terhadap keganasan dan perpecahan etnik dan provokasi."

Beliau menggesa pasukan keselamatan Israel supaya membenarkan "hak untuk kebebasan bersuara, persatuan dan perhimpunan."

"Tiada kekerasan seharusnya digunakan terhadap mereka yang melaksanakan hak mereka secara aman."

Lebih daripada 200 roket dilancarkan oleh para militan Palestin dari Carikan Gaza ke arah Israel sejak Isnin (10 Mei).

"Penggunaan senjata secara sewenang-wenangnya seperti roket dibedil ke Israel, adalah dilarang sama sekali di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan mesti segera dihentikan," kata Encik Colville.

Israel bertindak balas dengan 130 serangan yang dilakukan menggunakan jet pejuang serta serangan helikopter ke atas sasaran tentera di Carikan Gaza.

"Israel mesti menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa," kata Encik Colville sambil menambah bahawa sebarang serangan harus diarahkan kepada objektif tentera dengan langkah berjaga-jaga diambil untuk mengelakkan kematian orang awam.

Sementara itu, pelapor khas PBB mengenai hak asasi manusia di wilayah Palestin dan mengenai perumahan yang mencukupi, Dr Michael Lynk dan Dr Balakrishnan Rajagopal, mengecam tindak balas pasukan keselamatan Israel terhadap bantahan-bantahan tersebut.

"Punca langsung ketegangan sekarang di timur Baitulmakdis adalah tindakan pertubuhan petempatan Israel yang bertujuan mengubah kawasan-kawasan kejiranan Palestin menjadi kawasan kejiranan Yahudi," kata mereka.

"Ketenangan jangka pendek atau perdamaian jangka panjang tidak akan tercapai selagi hak-hak nasional dan individu penduduk Palestin di kota tersebut dihapuskan secara rutin."

Pelapor-pelapor khas itu tidak mengulas bagi pihak PBB tetapi melaporkan dapatan mereka kepada pertubuhan itu. 

Sumber : AFP/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan