Images
  • solihat
    Cik Solihat bersama teman-temannya di tapak yang dibadai tsunami. (Gambar: @jamiefullerton1/Twitter)

Patutkah tempat dibadai tsunami jadi tempat 'selfie'?

CARITA: Sedang ramai berduka selepas tsunami membadai kawasan-kawasan pantai sekitar Selat Sunda, ada pula yang mengambil kesempatan untuk mendapat lebih banyak 'likes' di media sosial dengan memuat naik gambar-gambar di tempat kejadian.

Baru-baru ini, seorang wartawan The Guardian melaporkan beliau melihat sendiri sebilangan orang yang merebut peluang untuk 'berselfie' atau berswafoto di kawasan Banten yang turut terjejas dengan tsunami.

Dalam satu gambar yang dimuat naik wartawan tersebut, Cik Jamie Fullerton, kelihatan empat wanita tersenyum ke arah kamera telefon bijak. Salah satu daripada mereka malah sempat bergaya, dengan tangannya menunjukkan bentuk huruf 'V'.

Tidak disangka-sangka, rupa-rupanya para pencinta selfie sanggup melakukan perjalanan selama berjam-jam semata-mata untuk ke tempat-tempat yang terjejas dengan tsunami tersebut. Gambar-gambar yang diambil pula tidak segan-segan dimuat naik ke media sosial.

Seorang warga tempatan yang ditemui Cik Jamie ialah Cik Solihat dari Cilegon. Menurut Cik Solihat, beliau dan tiga orang yang menemaninya tidak datang dengan tangan kosong. Mereka sempat melalukan kerja-kerja sosial dengan menderma sejumlah pakaian kepada para mangsa.

"Gambar ini dimuat naik ke Facebook sebagai bukti kami benar-benar ke sini dan menghulurkan bantuan," kata Cik Solihat.

Mengulas tentang tanggapan sesetengah pihak terhadap tindakannya itu, beliau berkata bahawa "pilihan latar gambar sememangnya boleh menyampaikan mesej bermakna".

"Ketika orang-orang melihat foto tempat bencana, mereka menyedari nasib mereka lebih baik. Foto lokasi bencana akan mendapatkan tanda 'likes' lebih banyak. Secara tidak langsung, ia mengingatkan orang lain untuk bersyukur," tambah Cik Solihat.

Apabila diajukan soalan tentang sama ada berselfie di depan tempat bencana atau mayat sebagai sesuatu yang wajar, ini jawab beliau: "Tergantung niatnya. Jika 'berselfie' untuk menunjuk-nunjuk, jangan. Tapi kalau untuk berbagi kesedihan dengan orang lain, oke saja."

Sayangnya, gambar-gambar yang dikongsi Cik Jamie tidak menggambarkan mereka yang berselfie bersimpati mahupun berduka.

MANGSA KECEWA LIHAT TINDAKAN PENCINTA SELFIE

Malah, Cik Jamie melaporkan, seorang wanita yang memakai seragam tentera menghabiskan waktu setengah jam untuk ke kawasan banjir semata-mata untuk berswafoto dengan sebuah kenderaan SUV yang rosak.

Pemilik kenderaan SUV itu sempat ditemui Cik Jamie. Encik Bahrudin, mengaku kecewa dengan para pencinta selfie yang jauh-jauh datang ke kampungnya.

Dalam pada itu, seorang gadis 18 tahun dari Jawa Tengah, Valentina Anastasia, mengaku tidak menyesal perlu melakukan perjalanan selama tiga jam dari Jakarta.

"Saya ingin melihat lokasi bencana, kerosakannya, dan orang-orang yang menjadi mangsa," katanya kepada The Guardian.

Saat ditanya berapa banyak foto selfie yang diambil, dia malah tersenyum.

"Banyak. Untuk media sosial dan WhatsApp," katanya.

Dia pun kemudian mengambil banyak gambar selfie dengan telefon bijaknya dengan latar orang-orang sedang memindahkan kendaraan rosak di belakangnya. 

- Merdeka.com/AQ/aq

Top