Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pasukan penyelam Indonesia cari kotak hitam kedua pesawat Sriwijaya Air

Para penyiasat Indonesia berkata pada Rabu (13 Jan) bahawa mereka berharap dapat menemui kotak hitam kedua dari pesawat Sriwijaya Air sedang mereka berusaha untuk menjelaskan mengapa pesawat yang membawa 62 penumpang itu terhempas ke dalam laut beberapa minit selepas ia berlepas.

Anggaran Waktu Membaca:
Pasukan penyelam Indonesia cari kotak hitam kedua pesawat Sriwijaya Air

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 13 Jan 2021 02:07PM Dikemas Kini : 13 Jan 2021 02:10PM

JAKARTA: Para penyiasat Indonesia berkata pada Rabu (13 Jan) bahawa mereka berharap dapat menemui kotak hitam kedua dari pesawat Sriwijaya Air sedang mereka berusaha untuk menjelaskan mengapa pesawat yang membawa 62 penumpang itu terhempas ke dalam laut beberapa minit selepas ia berlepas.

Pasukan penyelamat yang dikerahkan ke kawasan perairan dekat Jakarta menemui perakam data pesawat itu pada Selasa (12 Jan). Operasi pencarian kini ditumpukan kepada usaha mencari perakam suara kokpit dari dasar laut yang ditaburi serpihan pesawat.

Peralatan itu dijangka akan dapat memberikan petunjuk tentang mengapa pesawat Boeing 737-500 Sriwijaya Air itu menjunam sekitar 10,000 kaki dalam masa kurang seminit sebelum terhempas ke dalam Laut Jawa pada Sabtu (9 Jan).

"Operasi pencarian diteruskan hari ini dan kami berharap dapat memperolehi berita baik," kata Rasman MS, ketua operasi pencari dan penyelamat kepada para wartawan.

Sejauh ini, pihak berkuasa belum dapat menjelaskan mengapa pesawat yang berusia 26 tahun itu terhempas dalam masa empat minit selepas ia berlepas.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional Amerika Syarikat (NTSB) menyatakan ia sudah menghantar sekumpulan penyiasat ke Jakarta bersama dengan para pegawai dari Boeing, Jabatan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat dan GE Aviation, yang menghasilkan enjin dan bahagian lain pesawat.

"Pasukan ini mempunyai kemahiran dalam bidang operasi, prestasi manusia, struktur dan sistem pesawat," menurut catatan Twitter NTSB.

Lebih 3,000 kakitangan terlibat dalam operasi pencarian, yang disokong oleh berpuluh-puluh bot dan helikopter yang melakukan penerbangan mengelilingi pulau-pulau kecil di sekitar kawasan perairan Jakarta dan sebuah kenderaan yang dikendalikan dari jauh bagi membantu pasukan penyelam.

"Operasi ini belum lagi selesai," kata ketua tentera Indonesia Hadi Tjahjanto pada lewat Selasa.

"Kami akan terus mencari mangsa dan kesemua bahagian lain pesawat, yang akan kami cuba mendapatkannya."

Sumber : AFP/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan