Images
  • lubnan saad al-hariri
    Gambar fail mantan PM Lubnan, Saad Al-Hariri (Gambar: Reuters/Aziz Taher)

Pasukan keselamatan Lubnan siasat letupan dekat konvoi mantan Perdana Menteri Hariri

BEIRUT: Pasukan keselamatan Lubnan sedang menyiasat satu letupan 11 hari lalu yang berlaku berhampiran konvoi mantan Perdana Menteri Saad al-Hariri, menurut pejabat Encik Hariri pada Ahad (28 Jun).

Pejabat Encik Hariri menyatakan kejadian itu, yang tidak menyebabkan sesiapa cedera, berlaku semasa lawatan ke lembah Beqaa di timur Lubnan dan tidak diumumkan pada waktu itu untuk mengelak suasana politik yang tegang daripada menjadi lebih buruk.

"Oleh kerana konvoi itu tidak terdedah kepada sebarang serangan ... keputusan (Hariri) adalah untuk merahsiakannya dan menunggu hasil pasukan keselamatan berkenaan," kata pejabat itu dalam satu kenyataan.

Sisa peluru berpandu dijumpai hampir 500 meter dari laluan yang diambil oleh konvoi 30 kereta Encik Hariri, yang dilengkapi dengan sistem gangguan frequensi, menurut stesen TV Al Hadath milik Arab Saudi dalam satu laporan mengenai kejadian itu pada Ahad.

Encik Hariri, ahli politik Muslim Sunni terkemuka di Lubnan, meletakkan jawatan pada Oktober lalu berikutan bantahan besar-besaran terhadap golongan elit pemerintah berpuak. Sejak itu Lubnan dilanda krisis ekonomi dan politik terburuk sejak perang saudara pada 1975-90.

Bapa Encik Hariri, yang juga seorang mantan perdana menteri, terbunuh akibat serangan bom pada 2005.

- Reuters/TQ/tq

Top