Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pasar pagi, pasar malam Johor beroperasi semula mulai 15 Jun

Kerajaan Johor membenarkan pasar pagi dan malam di negerinya untuk beroperasi semula secara terkawal bermula Isnin depan (15 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Pasar pagi, pasar malam Johor beroperasi semula mulai 15 Jun

Sebuah pasar di Johor Bahru. (Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 08 Jun 2020 03:59PM Dikemas Kini : 08 Jun 2020 04:07PM

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor membenarkan pasar pagi dan malam di negerinya untuk beroperasi semula secara terkawal bermula Isnin depan (15 Jun).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Ayub Jamil berkata kebenaran itu akan dilaksanakan secara berperingkat di semua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi melihat tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh para peniaga dan pengunjung.

"Pasar pagi dan pasar malam ini juga akan dibenarkan beroperasi mengikut tempoh masa ditetapkan pihak berkuasa tempatan masing-masing. Ia juga hanya boleh menjalankan urus niaga secara belian terus (takeaway)," katanya hari ini (8 Jun).

Encik Ayub menambah, antara SOP yang harus dipatuhi adalah memastikan pasar diadakan dalam kawasan lapang dan berpagar bagi memudahkan kawalan keluar masuk pengunjung, gerai dijarakkan antara 1.5 meter dan 2.0 meter selain pengunjung dan peniaga perlu memakai pelitup.

Peniaga juga perlu berdaftar dengan aplikasi MySejahtera dan Jejak Johor bagi membolehkan pihak Kementerian Kesihatan menjejaki kontak rapat sekiranya berlaku penularan COVID-19.

"Pihak berkuasa juga boleh mengambil tindakan penutupan serta-merta sekiranya peniaga gagal mematuhi SOP ditetapkan dan pasar dilihat berada dalam keadaan tidak terkawal," kata beliau lagi.

Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, Johor mempunyai lebih 4,400 peniaga pasar pagi dan lebih 23,000 peniaga pasar malam di 53 lokasi pasar pagi dan 194 pasar malam di semua kawasan PBT negeri.

Encik Ayub bagaimanapun menjangkakan jumlah lokasi pasar dan peniaga akan berkurangan apabila kedua-dua pasar tersebut beroperasi semula 15 Jun ini.

Semalam (7 Jun), Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 10 Jun sehingga 31 Ogos ini - yang akan menyaksikan lebih banyak kelonggaran diberikan kepada rakyat untuk menjalankan aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi SOP secara berterusan. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan