Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pasangan warga tua tidak sempat raikan ulang tahun isteri; meninggal dunia di tanah suci

Pasangan suami isteri yang meninggal dunia di Madinah awal minggu ini tidak sempat meraikan hari ulang tahun si isteri setelah menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.00 pagi waktu tempatan, Isnin lalu (23 Dis). 

Anggaran Waktu Membaca:
Pasangan warga tua tidak sempat raikan ulang tahun isteri; meninggal dunia di tanah suci

Allahyarham Ismail Latiff, 66 tahun, bersama Allahyarhamah isterinya, Rohani Dollah, 60 tahun. (Gambar: GEGAR menerusi 501Awani/Facebook)

Diterbitkan : 28 Dec 2019 09:42AM Dikemas Kini : 28 Dec 2019 09:55AM

KOTA BHARU: Pasangan suami isteri yang meninggal dunia di Madinah awal minggu ini tidak sempat meraikan hari ulang tahun si isteri setelah menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.00 pagi waktu tempatan, Isnin lalu (23 Dis).

Menurut pemilik Syarikat Khalifah Kota, Mohd Imran Mohd Nor, yang turut bersama pasangan warga emas berasal dari Kota Bharu, Kelantan, sebelum meninggal dunia, Allahyarham Ismail Latiff, 66 tahun, berjanji akan meyambut hari lahir isterinya, Rohani Dollah, 60 tahun.

Namun, hasrat tersebut tidak kesampaian kerana Allahyarham Ismail meninggal dunia pada subuh waktu Madinah ketika isterinya berada di Masjid Nabawi.

CERIA, KELAKAR

"Sehari sebelum Poksu (Ismail) meninggal, dia tidak menunjukkan sebarang tanda, sebaliknya Allahyarham tetap ceria dan kelakar.

"Malah, segala urusan mereka suami isteri di sana sentiasa dipermudahkan Allah terutamanya ketika orang ramai berebut untuk solat di Hijr Ismail, mereka berdua dengan mudah dapat memasuki kawasan tersebut untuk solat," kata Encik Mohd Imran ketika dihubungi Astro Awani semalam (27 Dis).

Menurut Encik Mohd Imran sejurus tiba di Madinah, beliau sempat membantu Poksu menanggalkan jaket yang dipakainya kerana tidak berdaya untuk berbuat demikian akibat selesema.

Encik Mohd Imran menambah, pada sebelah malam, beliau berada di bilik Poksu bersama isteri dan anak saudara mereka untuk bertanya khabar.

"Ketika kami berada di bilik tersebut, Poksu berjanji akan menyambut hari lari isterinya yang saya panggil Moksu. Ketika itu, Moksu kelihatan cukup gembira.

"Namun menjelang Subuh, hanya Moksu yang turun ke masjid manakala Poksu tidak larat dan tinggal bersama anak saudaranya.

"Pemergian Poksu cukup mudah kerana sebaik keluar bilik air, dia dipapah oleh anak saudaranya dan membaringkannya atas katil sebelum meninggal dunia."

SEMPAT MAKAN AISKRIM

Encik Mohd Imran berkata Moksu hanya mengetahui akan kematian suaminya sebaik sahaja tiba di bilik hotel. Bagaimanapun, wanita itu cukup tabah.

Beliau menambah Moksu sempat memakan aiskrim yang dibelinya ketika mereka menguruskan jenazah Allahyarham ke hospital untuk disempurnakan.

"Sebaik selesai urusan pengebumian, kami mengadakan tahlil pada sebelah malam dan ketika itu Moksu dalam keadan sihat.

"Namun masuk malam kedua pemergian suaminya, Moksu atau Rohani mula letih dan tidak larat. Malah, kami sempat berjanji untuk beli kek dan raikan hari lahirnya keesokan pagi.

"Keesokan paginya, sebaik saya balik ke hotel selepas solat subuh, saya dimaklumkan anak saudaranya bahawa Moksu juga sudah meninggal dunia."

Encik Mohd Imran berkata Moksu meninggal sebaik sahaja Imam mengangkat takbir untuk solat subuh.

"Pemergian Moksu juga cukup mudah, beliau sudah bersiap dengan memakai jubah yang baru dibelinya dan hanya menunggu masanya sahaja," ujar beliau.

"Banyak pengajaran dan pengalaman yang saya alami sepanjang bersama arwah berdua. Yang paling utama, sepanjang di sana mereka tidak pernah berjauhan antara satu sama lain," kongsinya lanjut.

Menurut Astro AWANI, pasangan berkenaan meninggal dunia pada tarikh yang sama dengan kewafatan Rasullulah bahkan jenazah mereka disolatkan oleh puluhan ribu jemaah di Masjid Nabawi dan mereka dikebumikan di kawasan perkuburan sahabat Rasullullah. 

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan