Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pasangan muda, bayi maut dalam kebakaran awal pagi

"Makcik dengar seorang wanita menjerit meminta tolong, tapi apakan daya tiada kudrat untuk membantu, kerana api dah marak dengan cepat," itu perkongsian jiran mangsa kebakaran di Kampung Alah Batu, Ulu Bernam, Hulu Selangor, awal pagi ini (19 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Pasangan muda, bayi maut dalam kebakaran awal pagi

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 19 Aug 2019 04:59PM Dikemas Kini : 19 Aug 2019 05:04PM

HULU SELANGOR: "Makcik dengar seorang wanita menjerit meminta tolong, tapi apakan daya tiada kudrat untuk membantu, kerana api dah marak dengan cepat," itu perkongsian jiran mangsa kebakaran di Kampung Alah Batu, Ulu Bernam, Hulu Selangor, awal pagi ini (19 Ogos).

Cik Rabaiah Yunus, 58 tahun, yang tinggal di sebelah rumah mangsa berkata ketika mendengar jeritan meminta tolong, beliau baru sahaja bangun dari tidur untuk memasak, kerana anak perempuannya mahu pulang ke Manjung.

"Menantu (lelaki) makcik secara kebetulan baru bangun dari tidur terdengar bunyi bising, menyangka ada pencuri, tetapi apabila keluar rumah nampak api makin besar dan marak.

"Kami tak dapat nak tolong apa-apa cuma makcik hanya mampu menjerit minta tolong dengan jiran di sini, namun masa itu semua orang tengah tidur," katanya dalam nada sebak ketika ditemui Bernama hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3.51 pagi tadi, mangsa Mohd Sharidan Abdul Aziz dan isteri Siti Rafini Mohd Rafiee, masing-masing berumur dalam lingkungan 30-an, serta anak lelaki mereka Rafiq Mohd Sharidan berusia dalam lingkungan setahun, ditemui maut dalam sebuah bilik di rumah yang mengalami kebakaran.

Cik Rabaiah berkata mangsa sekeluarga yang baru berpindah di situ sejak Januari lalu merupakan jiran yang sangat baik, dan menganggap mereka sekeluarga seperti anaknya sendiri.

Sementara itu, bapa Mohd Sharidan, Abdul Aziz Mohd Idris, 58 tahun, berkata mangsa anak ketiga dari lima beradik itu memang rapat dengannya dan merupakan anak yang menyenangkan.

"Kali terakhir saya bertemu dengannya semalam, kerana kebetulan rumah saya mengadakan kenduri bertunang anak saudara dan mangsa tidak menunjukkan apa-apa perubahan ketika itu.

"Sebelum dia (mangsa) pergi berniaga memang dia akan singgah di rumah dahulu dan boleh dikatakan hampir setiap hari kami bertemu.

"Saya sekeluarga menerima apa yang telah terjadi dan reda dengan kehilangan anak serta menantu dan cucu kami," katanya.

Katanya pasangan suami isteri berniaga ayam goreng berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Besout.
Difahamkan, kesemua jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Slim, selepas bedah siasat selesai dilakukan di Unit Forensik Hospital Slim River.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan