Images
  • baby-bernama
    (Gambar: Bernama)

Pasangan dikurniakan cahaya mata daripada embrio yang dibeku selama 6 tahun

KUALA TERENGGANU: Penantian sepasang suami isteri selama 13 tahun untuk mendapatkan zuriat akhirnya ditemukan dengan berita gembira apabila dikurniakan seorang cahaya mata menerusi kaedah persenyawaan in vtiro (IVF).

Lebih manis lagi, bayi kepada pasangan Cik Noor'Adn Muhammad, 38 dan suaminya, Encik Mohd Yuhairil Haniff Yoon, 37, ialah bayi pertama yang dilahirkan hasil prosedur pemindahan embrio yang dibekukan (FET) selama enam tahun.

Prosedur 'Frozen-Thaw Embryo Transfer' atau pemindahan embrio yang dibekukan (FET) lazimnya dilakukan dalam tempoh purata satu hingga tiga tahun dari tempoh pembekuan maksimum iaitu lima tahun.

Menurut pakar Obstetrik, Ginekologi dan Reproduktif (O&G), Dr Nasuha Yaacob: "Pasangan ini bertuah kerana selepas dibekukan enam tahun, embrio ini masih berkualiti dan berjaya dilahirkan."

Bayi lelaki seberat 3.34 kilogram itu dilahirkan pada pukul 8.38 pagi pada Isnin (7 Okt) di Pusat Rawatan Ibu dan Bayi (Priba) Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu, Malaysia.

Kaedah pemindahan embrio beku itu dilakukan selepas enam tahun setelah ibu bayi, Noor'Adn mengalami keguguran sebanyak dua kali.

"Sebenarnya proses pembekuan ini tidak ada tempoh tamat. Cuma, ini adalah garis panduan Kementerian (Kesihatan) untuk menggalakkan ibu memindahkan embrio dalam masa lima tahun," kata Dr Nasuha.

Menurut Cik Noor'Adn, beliau mula menjalani rawatan IVF pada 2012 dan hamil pada tahun yang sama. Namun, beliau mengalami keguguran ketika kandungan berusia dua bulan.

Pada Julai 2013, beliau mengandung anak kembar, namun mengalami keguguran ketika kandungan berusia 20 minggu.

"Selepas keguguran bayi kembar pada 2013 itu, memang saya sedikit trauma untuk meneruskan rawatan, setelah berbincang dengan suami, kami sepakat mahu mengambil masa selama lima tahun untuk berehat agar benar-benar bersedia mental dan fizikal untuk rawatan seterusnya," ujar Cik Noor'Adn.

Di Malaysia, hanya terdapat empat hospital kerajaan yang menawarkan perubatan teknik IVF. 

- BERNAMA/HA/ha

Top