Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Parti Sarawak keluar BN, bentuk pakatan baru

KUCHING: Kesemua empat parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sarawak mengumumkan keputusan sebulat suara untuk keluar daripada pakatan tersebut, pada Selasa (12 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Parti Sarawak keluar BN, bentuk pakatan baru

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 13 Jun 2018 08:24AM Dikemas Kini : 13 Jun 2018 08:28AM

KUCHING: Kesemua empat parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sarawak mengumumkan keputusan sebulat suara untuk keluar daripada pakatan tersebut, pada Selasa (12 Jun).

Parti-parti tersebut adalah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Pengerusi BN Sarawak yang juga Presiden PBB, Abang Johari Openg ketika membuat pengumuman tersebut berkata keempat-empat parti itu akan mewujudkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“PBB, SUPP, PRS dan PDP telah sebulat suara membuat keputusan untuk meninggalkan BN dan membentuk gabungan baru parti yang berasaskan Sarawak dikenali sebagai Gabungan Parti Sarawak (GPS)," kata beliau.

Tambahnya lagi: “Keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan secara mendalam dan mengambil kira perkembangan politik saat ini pasca Pilihan Raya Umum ke-14. GPS akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi kepentingan negara dan hak negeri dan hak berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Persekutuan Malaysia,” katanya.

Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak berkata demikian di sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat BN Sarawak di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako, Petra Jaya.

Abang Johari menambah bahawa keputusan empat parti komponen tersebut akan dimaklumkan kepada BN pusat dalam tempoh terdekat, sambil merakamkan penghargaan ke atas sumbangan BN selama ini kepada Sarawak.

Sebagai rekod BN Sarawak membentuk kerajaan negeri selepas menang 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan semasa Pilihan Raya Negeri ke-11 yang diadakan pada 2016.

Pada Pilihan Raya ke-14 lalu, BN Sarawak menguasai 19 kerusi Parlimen yang disumbangkan oleh PBB 13 kerusi, PRS (tiga), PDP (dua) dan SUPP (satu) daripada 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di negeri tersebut.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan