Images
  • India covid (1)
    Penyokong ketua parti Kongres Trinamool Congress Mamata Banerjee meraikan kemenangan awal beliau di wilayah Bengal Barat, India pada 2 Mei 2021. (Gambar: AP Photo/Ashim Paul)

Parti PM Modi tewas dalam pilihan raya penting wilayah India

KOLKATA: Parti ketua menteri yang memerintah di wilayah Bengal Barat, India menewaskan parti Perdana Menteri Narendra Modi dalam pilihan raya wilayah yang diadakan sedang pandemik COVID-19 melonjak ke tahap krisis di negara itu.

Encik Modi dikritik kerana terlalu memberi tumpuan kepada pilihan raya dan tidak menjadikan pandemik yang sedang membelenggu negara itu keutamaannya.

Beberapa pakar menuding jari menyalahkan suruhanjaya pilihan raya persekutuan kerana membenarkan rapat-rapat pilihan raya dan undi diadakan dengan orang ramai berbondong-bondong berhimpun dan melanggar peraturan jarak selamat dan memakai pelitup.

Mamata Banerjee, 66 tahun, akan menjadi ketua menteri bagi wilayah Bengal Barat itu buat kali ketiga berturut-turut selepas partinya Kongres Trinamool (TMC) menang dua pertiga majoriti, sekali gus membolot lebih 200 kerusi daripada 294 kerusi wilayah, menurut para pegawai suruhanjaya pilihan raya. Kiraan akhir bagi sebahagian kerusi itu masih dijalankan.

Cik Banerjee kini satu-satunya wanita yang menyandang jawatan ketua menteri.

Meskipun tewas, Parti Bharatiya Janata (BJP) Encik Modi menunjukkan peningkatan, menjadikannya parti pembangkang utama kerana meraih hampir 80 kerusi berbanding hanya tiga yang dimenangi pada tahun 2016.

Encik Modi, rakan-rakan sekerjanya dan ahli-ahli politik serantau berkempen secara agresif di lima wilayah meskipun dalam keadaan pandemik.

Keputusan itu dilihat sebagai ujian terhadap kesan gelombang kedua penularan jangkitan ke atas sokongan kepada Encik Modi dan parti BJP.

Cik Banerjee, pengkritik tegar Encik Modi, sebahagian besarnya berkempen sendirian untuk mengekalkan kuasanya dengan mengadakan banyak rapat umum.

"Ia adalah prestasi hebat oleh Mamata Banerjee kerana Encik Modi bertekad untuk menang di Bengal. Namun jelas keseluruhan strategi politik beliau gagal menewaskannya (Banerjee)," kata seorang penganalisis politik, Diptendu Bhaskar, di Kolkata, ibu kota Bengal Barat.

Di wilayah Assam, BJP berjaya mengekalkan kuasa politiknya. Di Tamil Nadu pula, DMK - iaitu parti pembangkang utama di rantau itu - menang.

Di wilayah Kerala, parti politik sayap kiri yang memerintah akan membentuk pemerintah sementara perikatan yang dipimpin BJP tidak memenangi sebarang kerusi.

Di wilayah kesatuan Puducherry, perikatan yang dipimpin Kongres All India NR sedang mendahului dengan 14 daripada 30 kerusi perhimpunan.

Kebanyakan undi dibuat pada bulan Mac, namun undian di beberapa kawasan undi diteruskan sehingga April, sedang India mula mengesan ribuan kes baru jangkitan COVID-19 setiap hari.

- Reuters/NK/nk

Top