Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Parti pembangkang Thailand yang baru bubar dakwa pemerintah tentera selindung kes 1MDB

Parti pembangkang Thailand yang diharamkan pada Ahad (23 Feb) menuduh bekas pentadbiran tentera membantu menyelindungi skandal 1MDB di Malaysia yang bernilai berbilion dolar.

Anggaran Waktu Membaca:
Parti pembangkang Thailand yang baru bubar dakwa pemerintah tentera selindung kes 1MDB

(Gambar Fail: Reuters/Olivia Harris)

Diterbitkan : 23 Feb 2020 10:05PM Dikemas Kini : 23 Feb 2020 10:10PM

BANGKOK: Parti pembangkang Thailand yang diharamkan pada Ahad (23 Feb) menuduh bekas pentadbiran tentera membantu menyelindungi skandal 1MDB di Malaysia yang bernilai berbilion dolar, mendesak rakyat Thailand agar menuntut kebenaran menjelang satu perdebatan kecaman terhadap Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha.

Parti Future Forward, parti ketiga terbesar di parlimen, dibubarkan pada Jumaat oleh Mahkamah Perlembagaan Thailand berhubung pinjaman yang diambil dari pengasasnya, seorang hartawan.

Pembubaran itu disifatkan para penyokong demokrasi sebagai cara untuk melemahkan tentangan terhadap kerajaan Encik Prayut, yang pertama kali memegang kuasa dalam satu rampasan kuasa tentera pada 2014 dan memimpin sebuah kerajaan tentera sehingga selepas pilihan raya tahun lalu yang dimenangi parti pro-tenteranya.

Jurucakap Future Forward, Pannika Wanich, memberitahu para pemberita semasa sidang media pada Ahad bahawa kerajaan tentera telah bekerjasama dengan bekas kerajaan Malaysia untuk menangkap pemberi maklumat dalam kes 1MDB pada 2015 dan telah membenarkan penjenayah kewangan beroperasi di Thailand, yang meletakkan hubungan antarabangsa di negara itu dalam risiko.

"Kerajaan junta menginginkan penerimaan antarabangsa selepas rampasan kuasa ... dan membentuk satu perikatan gelap dengan Malaysia," kata Cik Pannika.

"Satu-satunya orang yang boleh mengeluarkan arahan ini ialah Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha," katanya lagi.

Cik Pannika menyebut tentang percanggahan berhubung penangkapan Xavier Justo dan pengakuannya selepas itu. Warga Switzerland itu ditangkap di Thailand pada 2015 sebagai pemberi maklumat pertama berkaitan 1MDB.

Kerajaan Thailand ketika itu juga melindungi hartawan Malaysia Low Taek Jho, yang dikenali sebagai Jho Low, membenarkannya memasuki negara itu sekurang-kurangnya lima kali antara Oktober 2016 hingga Mei 2018, walaupun Low mempunyai notis merah Interpol dari Singapura, katanya.

Sekurang-kurangnya enam negara, termasuk Amerika Syarikat, sudah melancarkan siasatan bagi pengubahan wang haram, salah tadbir kewangan dan jenayah dalam urus niaga 1MDB.

Parti Future Forward menyatakan ia sepatutnya melancarkan satu siasatan ke atas rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kes 1MDB jika ia berkuasa.

"Sekiranya kami dalam kerajaan, kami akan menyiasat. Kami mahukan kerajaan yang merupakan jiran bertanggungjawab dan bertindak dengan bermaruah," kata Cik Pannika.

"Oleh kerana kami dibubarkan, kami tidak dapat melakukannya, namun rakyat Thailand boleh menuntut kebenaran."

Jurucakap pejabat perdana menteri Malaysia tidak segera memberi respons kepada permintaan untuk mengulas.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan