Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Parlimen Greece: Boleh gunakan hukum Syariah untuk huraikan pertikaian keluarga

Parlimen Greece memberikan lampu hijau bahawa amalan hukum Syariah boleh digunakan sebagai satu pilihan bagi menghuraikan pertikaian keluarga untuk keluarga-keluarga muslim.

Anggaran Waktu Membaca:
Parlimen Greece: Boleh gunakan hukum Syariah untuk huraikan pertikaian keluarga

Perdana Menteri Greece, Alexis Tsipras. (Gambar: ALBERTO PIZZOLI / AFP)

Diterbitkan : 11 Jan 2018 06:08PM Dikemas Kini : 11 Jan 2018 06:16PM

ATHENS: Parlimen Greece memberikan lampu hijau bahawa amalan hukum Syariah boleh digunakan sebagai satu pilihan bagi menghuraikan pertikaian keluarga untuk keluarga-keluarga muslim.

Langkah ini mengubah peraturan perundangan selama sedekad di negara itu.

Perdana Menteri Greece, Alexis Tsipras menyifatkan langkah parlimen menyokong usul tersebut sebagai "langkah bersejarah" kerana ia "memberikan kesaksamaan dari segi undang-undang kepada semua rakyat Greece.

Masyarakat muslim adalah masyarakat minoriti di negara itu.

Dengan sokongan perundangan itu, orang-orang Islam dibenarkan menggunakan mahkamah Greece untuk menghuraikan pertikaian keluarga, daripada hanya merujuk kepada tokoh-tokoh agama seperti Mufti.

ADUAN TENTANG BERAT SEBELAH

Bagi hal-hal berkaitan undang-undang keluarga, kaum muslim di Greece lazimnya menemui Mufti bagi masalah seperti perceraian, penjagaan anak dan pembahagian harta pusaka. Namun demikian sebilangan pihak mengadu ia lebih berpihak kepada pihak lelaki daripada wanita.

Isu ini bermula sejak zaman selepas perang Dunia ke-2 di mana Greece memeterai perjanjian dengan Turki selepas runtuhnya Empayar Uthmaniyyah atau Ottoman.

Perjanjian Sevres tahun 1920 dan Perjanjian Lausanne tahun 1923 menetapkan bahawa undang-undang syariah Islam dan adab-adabnya akan disabitkan kepada ribuan muslim yang 'tiba-tiba' menjadi warga Greece.

Greece yang mempunyai 110,000 orang muslim kebanyakannya tinggal di daerah Thrace, kawasan miskin di timur-laut negara itu yang bersempadankan Turki.

Langkah terbaru parlimen Greece itu dibuat sedang Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) dijangka mengemukakan keputusan tahun ini mengenai aduan yang dibuat seorang janda muslim Greece, Hatijah Molla Salli.

Beliau yang kini berusia 67 tahun, terbabit dalam pertikaian harta pusaka dengan adik beradik perempuan allahyarham suaminya.

Semasa Cik Salli merayu kepada mahkamah sekular Greece, beliau pada awalnya menang kes tersebut.

Namun Mahkamah Agung Greece pada tahun 2013 memutuskan bahawa hanya seorang Mufti mempunyai kuasa untuk menghuraikan isu pembahagian harta pusaka bagi orang Islam.

"Pemerintah hanya bertindak untuk mengelak daripada dikutuk oleh mahkamah, yang seperti semua orang tahu, tidak dapat dielakkan," kata Yannis Ktistakis, peguam bela kepada Cik Salli pada November lalu.

Athens bagaimanapun mengakui bahawa Islam yang diamalkan oleh para Mufti di Thrace pada umumnya lebih sederhana daripada yang diajarkan oleh para imam lebih konservatif di tempat-tempat lain di Eropah.

Sumber : AFP/DIWAI/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan