Images
  • green house
    Gas-gas dikeluarkan rumah hijau antara faktor menyumbang kepada perubahan iklim. (Gambar fail: Johannes Eisele/AFP)

Paras CO2 cecah rekod tertinggi dalam sejarah

PARIS: Para saintis di Amerika Syarikat mengesan paras tertinggi karbon dioksida (CO2) sejak paras gas tersebut mula dicatat. Hal ini menimbulkan kebimbangan baru mengenai peningkatan berterusan pengeluaran gas rumah hijau yang menyumbang kepada pemanasan bumi.

Balai Cerap Mauna Loa di Hawaii, yang menjejaki tahap C02 di udara sejak lewat 1950-an, mengesan 415.26 ppm (bahagian per sejuta) gas tersebut pada Sabtu (11 Mei) pagi.

Ia juga merupakan kali pertama dalam rekod, balai cerap itu mengukur paras minimum harian melebihi 415 ppm.

Kali terakhir atmosfera Bumi mengandungi CO2 sebanyak itu adalah lebih tiga juta tahun lalu apabila paras air sejagat berukuran beberapa meter lebih tinggi dan beberapa bahagian Antartika diselaputi hutan belukar.

"Ia menunjukkan kita sama sekali tidak membuat sebarang kemajuan dalam menjaga iklim. Parasnya terus meningkat dan ia kian tinggi tahun demi tahun," kata Encik Wolfgang Lucht dari Institusi Penyelidikan Kesan Iklim (PIK).

"Angka ini perlu distabilkan."

Namun, jauh daripada menstabilkannya, tahap CO2 - salah satu daripada tiga gas rumah hijau yang dikeluarkan apabila bahan api fosil dibakar - menjulang dengan lebih cepat.

Encik Ralph Keeling, Pengarah Program CO2 di Institusi Oseanografi Scripps berkata trend tersebut mungkin berterusan sepanjang 2019 - kemungkinan sebuah tahun El Nino dengan suhu meningkat akibat arus lautan yang lebih panas.

Perjanjian Paris 2015 menyeru masyarakat sejagat untuk menyekat kenaikan suhu Bumi "jauh di bawah" dua darjah Selsius berbanding tahap pra-perindustrian dan 1.5C, sekiranya boleh.

Tempoh empat tahun yang lalu adalah yang paling panas dicatatkan dan meskipun terdapat perjanjian Paris serta tahap kesedaran lebih tinggi mengenai masalah itu, manusia terus memecahkan rekod pengeluarannya sendiri tahun demi tahun.

Suhu permukaan purata Bumi meningkat 1.0C sejak era sebelum perindustrian disebabkan pengeluaran gas rumah hijau buatan manusia. 

- AFP/FZ/fz

Top