Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Parang dirampas, 17 lelaki ditahan berhubung kekecohan kuil Sri Maha Mariamman

Seramai 17 lelaki tempatan ditahan, setakat ini, bagi membantu siasatan berhubung rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights awal pagi Isnin (26 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Parang dirampas, 17 lelaki ditahan berhubung kekecohan kuil Sri Maha Mariamman

Pihak polis di tempat kejadian. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 27 Nov 2018 01:04AM Dikemas Kini : 27 Nov 2018 01:05AM

SHAH ALAM: Seramai 17 lelaki tempatan ditahan, setakat ini, bagi membantu siasatan berhubung rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights awal pagi Isnin (26 Nov).

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata polis juga sudah mengenal pasti kesemua individu terlibat termasuk dalang kes tersebut. Siasatan lanjut masih diteruskan.

“Polis turut merampas senjata yang digunakan dalam kejadian itu seperti dua bilah pedang, dua batang kayu dan dua paip getah. Sebanyak 29 aduan polis diterima setakat ini berhubung kejadian itu.

“Segala aspek sedang disiasat dengan telus dan kita akan ambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat,” katanya.

Encik Mohamad Fuzi menjelaskan, daripada 17 yang ditahan, seramai enam daripada mereka mengalami kecederaan.

Beliau berkata seorang anggota polis berpangkat koperal dari Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya turut cedera ketika cuba meleraikan kekecohan.

"Sebanyak 18 buah kereta pelbagai jenis dan dua buah motosikal turut dibakar dalam kejadian tadi, sebuah kereta peronda polis turut musnah akibat dibaling batu oleh para perusuh," kata Ketua Polis Selangor Encik Mazlan Mansor di satu sidang media awal daripada itu. Sekitar 700 anggota polis terdiri dari unit pencegah rusuhan dan beberapa unit lagi mengawal di sana.

NAFI POLIS LAMBAT TIBA DI TEMPAT KEJADIAN

Encik Mohamad Fuzi selanjutnya menegaskan insiden ganas di kuil berkenaan tiada kena-mengena dengan perbalahan perkauman. Sebaliknya, ia menjurus kepada isu pemindahan kuil dari lokasi asal ke lokasi baru di Putra Heights.

Justeru, Encik Mohamad Fuzi meminta semua pihak supaya berhenti membuat spekulasi atau memberikan komen tidak bertanggungjawab yang boleh mengeruhkan keadaan.

Mengenai dakwaan pihak polis lewat tiba di tempat kejadian untuk membantu meleraikan kekecohan, beliau menyangkal dakwaan itu dan menegaskan bahawa anggota polis tiba di tempat kejadian 10 minit selepas dimaklumkan.

“Kita terima panggilan pada jam 2.40 pagi dan kita sampai di tempat kejadian pada jam 2.50 pagi. Ketua Polis Daerah (Subang Jaya) sampai kira-kira 30 minit selepas menerima maklumat berhubung kekecohan itu.

“(Dakwaan) itu tidak tepat sama sekali, kita ada rekod, kita ada catatan diari dan urutan perkembangan. Harap jangan buat spekulasi tidak bertempat, mereka tidak tahu situasi sebenar kerana kita yang kawal keadaan,” katanya dengan tegas.

PROSES PEMINDAHAN KUIL PUNCA UTAMA?

Mengenai dakwaan pemilik tapak kuil iaitu syarikat pemaju One City Development Sdn. Bhd., yang menafikan ia menjadi dalang kejadian itu, Encik Mohamad Fuzi berkata pihaknya sedang menyiasat mengenainya dan terlalu awal untuk membuat kesimpulan.

Jelas beliau, proses pemindahan kuil ini bukan kali pertama diadakan malah pada tahun ini sudah tiga kali ia dilakukan dan yang terakhir pada empat minggu lalu, usaha seumpamanya diadakan namun gagal kerana berlaku kekecohan.

Menurutnya lagi, polis tidak campur tangan dan hanya berperanan untuk mengawal keselamatan.

“Sepatutnya pukul 6.00 pagi tadi FRU (pasukan antirusuhan) dan anggota dari IPD Serdang sepatutnya berkawal di kuil tersebut bagi pelaksanaan proses pemindahan ke tapak kuil baru, tetapi kekecohan berlaku lebih awal,” katanya.

SEMUA, TERMASUK AHLI POLITIK DIMINTA TIDAK KERUHKAN KEADAAN

Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa polis gagal mengambil tindakan menangani kekecohan itu. Jika polis gagal mengambil tindakan, katanya, ada kemungkinan kejadian lebih buruk berlaku termasuk kematian.

“Sehubungan itu, saya minta semua pihak bertanggungjawab tidak buat kenyataan yang boleh keruhkan keadaan.

“Ahli politik patut bantu redakan keadaan bukan timbul kekeruhan. Ini tidak akan membantu kita kawal keadaan, kita tidak mahu daripada (keadaan) terkawal malah menjadi buruk dan sebagainya.

“Apa pun kita sedang lakukan siasatan terperinci secepat mungkin,” katanya. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan