Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Para pengguna media sosial cari kekuatan dan ketenangan berikutan serangan Christchurch

Seorang lelaki dipercayai jemaah menyapa seorang pengganas bersenjata dengan berkata kepadanya "Hello brother" (hai saudaraku) sedang lelaki itu menghampiri sebuah masjid di New Zealand dengan senapang patah dan melepaskan tembakan.

Anggaran Waktu Membaca:
Para pengguna media sosial cari kekuatan dan ketenangan berikutan serangan Christchurch

Seramai 49 orang terkorban akibat serangan di dua masjid di Christchurch, New Zealand. (Gambar: Mark Baker/AP)

Diterbitkan : 16 Mar 2019 08:45AM Dikemas Kini : 16 Mar 2019 11:37AM

CHRISTCHURCH: Seorang lelaki dipercayai jemaah menyapa seorang pengganas bersenjata dengan berkata kepadanya "Hello brother" (hai saudaraku), sedang lelaki itu menghampiri sebuah masjid di New Zealand dengan senapang patah dan melepaskan tembakan.

Penyerang itu memasuki Masjid Al Noor di Christchurch dan membunuh 41 orang semasa para jemaah bersolat Jumaat. Lagi lapan mangsa terbunuh di sebuah masjid di Linwood Avenue, lapor Daily Mail.

Dia turut dipercayai menyiarkan secara langsung serangan tersebut di wadah media sosial Facebook, yang merakam salah seorang lelaki mengucap salam "Hello brother" kepadanya.

Ia mencetuskan reaksi meluas dalam kalangan pengguna media sosial yang cuba mendapatkan kekuatan dan ketenangan menyusuli kejadian itu, dengan sebahagiannya melihat lelaki berkenaan menunjukkan ajaran Islam sebenar kerana sikap ihsannya meskipun berdepan dengan penyerang yang membawa senjata.

Salah seorang pengguna Twitter, Farrukh, menulis: "Berapa ramai orang Muslim lagi yang harus menjadi mangsa untuk membuktikan agama mereka tidak ganas?"

Menurut laporan Daily Mail, pengganas yang merakamkan perbuatan kejamnya itu seorang daripada empat individu yang diberkas atas serangan yang dilancarkan di dua masjid. Seramai 49 orang terkorban manakala 48 lain cedera dalam apa yang disifatkan sebagai 'hari paling gelap' New Zealand.

Lelaki itu memasuki Masjid Al Noor pada sekitar 1.45 petang dan melepaskan tembakan terhadap sekitar 100 jemaah.

Sejurus kemudian, satu lagi serangan tembakan berlaku di sebuah masjid di Linwood, yang terletak di bahagian timur bandar Christchurch. Tujuh orang terbunuh manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital.

Menyusuli serangan kejam itu, tiga lelaki dan seorang wanita diberkas. Menurut Daily Mail, 'seorang lelaki dalam lingkungan usia 20-an' menghadapi tuduhan membunuh. Dia dihadapkan ke mahkamah hari ini (16 Mac).

Dua lagi individu masih ditahan, manakala suspek keempat yang ditangkap dilaporkan tidak terbabit dalam serangan tersebut.

Seramai 48 orang yang cedera dikejarkan ke Hospital Christchurch kerana mengalami luka tembakan. Seramai 20 daripada mereka berada dalam keadaan tenat.

Ramai daripada mangsa yang cedera terpaksa menjalani beberapa pembedahan. 

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan