Para pemimpin S'pura ucap takziah kepada Presiden Indonesia atas pemergian ibunya
Presiden Halimah Yacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyampaikan ucap takziah di atas pemergian ibu Presiden Joko Widodo, menurut satu kenyataan oleh Kementerian Ehwal Luar Singapura pada Khamis (26 Mac).
SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyampaikan ucap takziah di atas pemergian ibu Presiden Joko Widodo, menurut satu kenyataan oleh Kementerian Ehwal Luar Singapura pada Khamis (26 Mac).
"Suami saya Mohamed dan saya bersedih di atas pemergian ibu anda yang tersayang, Sudjiatmi Notomihardjo," kata Presiden Halimah dalam satu surat kepada rakan sejawatannya dari Indonesia.
"Kami menyampaikan ucapan takziah mendalam dan berharap anda dan keluarga akan diberi ketabahan dan kekuatan pada masa sukar ini."
Ibu Sudjiatmi, 77, meninggal dunia akibat barah pada Rabu di Solo, Jawa Tengah, lapor agensi berita Antara.
"Sebagaimana kita tahu, ibu menghadapi barah sejak empat tahun lalu," kata Encik Widodo pada Rabu kepada Antara.
Allahyarhamha dikebumikan pada Khamis pada 1.00 tengah hari di Karanganyar, dekat Solo. Presiden Widodo tidak bercakap kepada media dan segera meninggalkan tempat pengebumian dengan keluarganya.
Encik Lee dan isterinya, Ho Ching turut menyampaikan ucap takziah mereka kepada Encik Widodo.
"Meskipun kami tidak pernah berkesempatan untuk bertemu dengan Ibu Sudjiatmi, kami tahu perasaan kehilangan orang tua, duka dan sedih yang anda sedang rasakan," kata Encik Lee.
"Ingatan dan doa kami bersama anda dan keluarga pada masa sukar ini."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.