Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Para pelajar AS rancang tunjuk perasaan, tuntut ketatkan penggunaan senjata api

Para pelajar di seluruh Amerika Syarikat menganjurkan perhimpunan dan perarakan secara besar-besaran untuk menunjukkan sokongan bagi undang-undang senjata lebih ketat.

Anggaran Waktu Membaca:
Para pelajar AS rancang tunjuk perasaan, tuntut ketatkan penggunaan senjata api

Orang ramai melawat tugu bagi memperingati mangsa-mangsa pembunuhan di Sekolah Tinggi Marjory Stoneman Douglas. (Gambar: MARK WILSON/Getty Images)

Diterbitkan : 19 Feb 2018 01:57PM Dikemas Kini : 19 Feb 2018 02:04PM

PARKLAND: Dek tergamam dengan serangan tembakan paling dahsyat pernah berlaku di sebuah sekolah awam Amerika Syarikat, para pelajar di seluruh negara tersebut menganjurkan perhimpunan dan perarakan secara besar-besaran untuk menunjukkan sokongan bagi undang-undang senjata lebih ketat sekaligus mencabar ahli politik yang dikatakan gagal melindungi mereka.

Para pelajar dari Sekolah Tinggi Marjory Stoneman Douglas menyertai sama pelajar-pelajar lain di media sosial untuk merancang acara-acara tersebut, termasuk perarakan di Washington.

Pada Rabu lalu (14 Feb), seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang juga bekas pelajar di sekolah berkenaan melepaskan tembakan rambang ke arah pelajar dan kakitangan sekolah menyebabkan 17 orang terkorban.

Para pelajar merancang acara "Berarak demi Hidup Kami" ataupun "March for Our Lives" di Washington pada 24 Mac ini untuk menarik perhatian tentang keselamatan di sekolah dan menggesa penggubal undang-undang melaksanakan kawalan senjata api.

Mereka juga merancang untuk mengadakan perhimpunan menuntut kawalan senjata api, isu-isu kesihatan mental dan keselamatan di sekolah Rabu ini (21 Feb) di Tallahassee, ibu kota wilayah tersebut. Mereka dijangka mengadakan pertemuan dengan seorang penggubal undang-undang yang mendesak dilarang penjualan senjata api seperti AR-15 yang dikatakan digunakan dalam insiden tembakan di sekolah itu.

Kumpulan penasihat kawalan senjata api Newtown menganggarkan kira-kira 300 kejadian serangan tembakan berlaku di kawasan sekolah di seluruh AS sejak 2013.

"SESI MENDENGAR"

Rumah Putih menyatakan Presiden Trump akan mengadakan "sesi mendengar" bersama para pelajar sekolah tinggi dan guru-guru mereka Rabu ini (21 Feb) tetapi ia tidak memberi perincian khusus tentang pelajar ataupun sekolah yang terlibat.

Para pemimpin Democrat berikrar akan menggandakan usaha menentang lobi bagi pemilikan senjata api dalam usaha untuk mengurangkan serangan dengan senjata.

"Kami yang dewasa. Kami adalah pemimpin negara ini yang sepatutnya memastikan anak-anak kami selamat - dan sekali lagi, negara kami mengecewakan mereka," kata Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Demokratik Tom Perez di Twitter.  

Sumber : AFP/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan