Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Papagomo mengaku tidak bersalah tuduhan cedera, aibkan Syed Saddiq

Pengendali laman blog Papagomo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini (28 Feb) atas dua tuduhan mengaibkan dan mendatangkan kecederaan terhadap Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu insiden pada hari penamaan calon PRK  Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih. 

Anggaran Waktu Membaca:
Papagomo mengaku tidak bersalah tuduhan cedera, aibkan Syed Saddiq

Papagomo hadir di mahkamah bagi dua tuduhan mengaibkan dan mendatangkan kecederaan terhadap Syed Saddiq. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 28 Feb 2019 03:10PM Dikemas Kini : 28 Feb 2019 03:15PM

KAJANG: Pengendali laman blog Papagomo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini (28 Feb) atas dua tuduhan mengaibkan dan mendatangkan kecederaan terhadap Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu insiden pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada dua minggu lalu.

Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, 36 tahun, yang juga Exco Pemuda UMNO membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Fadzilatul Isma Ahmad Refngah.

Mengikut pertuduhan pertama, Wan Muhammad Azri didakwa mengaibkan Syed Saddiq dengan menyebut “ko bodoh” bagi maksud mengganggu kesantunannya.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di tepi jalan Persiaran Impian Perdana, Saujana Impian pada 11.05 pagi 16 Feb lalu, mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua, Papagomo didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan di leher dan bahu Syed Saddiq pada masa, tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 (S$660) atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

MOHON IKAT JAMIN LEBIH RENDAH

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria menawarkan jaminan RM30,000 (S$9,950) dengan seorang penjamin serta syarat tambahan supaya Papagomo menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah kerana kes berkenaan melibatkan keselamatan Syed Saddiq.

Peguam Nik Saiful Adli Buhari yang mewakilinya memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya hanya peniaga kecil-kecilan serta menyara lima orang anak yang masih kecil serta isteri yang tidak bekerja.

Peguam itu turut memohon mahkamah menukar syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa kepada melapor diri di balai polis berhampiran.

Mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 (S$2,652) dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menetapkan 1 April untuk sebutan kes.

Dalam kejadian 16 Feb lalu, Syed Saddiq yang juga Anggota Parlimen Muar, mendakwa diserang sekumpulan penyokong pembangkang sebaik keluar dari pusat penamaan calon PRK DUN Semenyih di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang. Wan Muhammad Azri ditahan polis pada keesokan harinya bagi membantu siasatan kes itu.

Sekumpulan penyokong Papagomo juga hadir di pekarangan mahkamah tersebut, termasuk Ketua Pemuda UMNO Dr Asyraf Wajdi Dusuki. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan