Images
  • orang asli kuala koh
    Gambar: Bernama

Panik, tertekan, takut punca Orang Asli tidak lapor kematian

KUALA LUMPUR: Panik, tertekan dan takut akan penyakit yang merebak, menyebabkan Orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan bertindak mengebumikan mayat anggota suku kaum itu mengikut adat dengan segera dan tidak melaporkan kepada pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Prof Dr Juli Edo berkata ia ditambah pula dengan ketiadaan wadah komunikasi kerana kedudukan mereka yang jauh di dalam hutan tebal berhampiran Taman Negara di sempadan Kelantan-Pahang sewaktu mereka berhijrah, lapor Bernama.

“Kebiasaannya, Orang Asli bila saudara mara mereka meninggal dunia, mereka akan kebumikan begitu sahaja, namun peraturan kita sekarang memerlukan mereka melaporkan kepada pihak berkuasa dan kalau kita kebumi tanpa melaporkannya ia dianggap satu kesalahan, itu undang-undang kita,” katanya Dr Juli ketika dihubungi Bernama.

Dr Juli berkata demikian semasa mengulas tentang laporan media mengenai kejadian menimpa Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh, baru-baru ini, yang didakwa dilanda penyakit misteri sehingga mengakibatkan sebilangan kematian.

Mengikut suku kaum itu berlaku 14 kematian dengan mangsa dikebumikan secara adat oleh penduduk kampung, tetapi polis memaklumkan hanya menerima dua laporan berkaitan kematian terbabit.

Mengulas mengenai cara hidup mereka, Dr Juli yang pernah berkhidmat di Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya berkata masyarakat Orang Asli suku kaum Batek masih mengamalkan kehidupan secara berpindah randah secara turun-temurun tetapi tidak sepenuhnya sekarang ini (separa nomad).

Suku yang tergolong di bawah kumpulan Negrito itu banyak terdapat di Pahang, Kelantan dan Terengganu, kata Dr Juli daripada suku kaum Semai.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata terdapat tiga faktor utama yang menyebabkan suku ini berpindah-randah iaitu faktor makanan, penyakit dan berkunjung ke rumah saudara mara misalnya untuk menghadiri kenduri yang memerlukan mereka untuk tinggal lama di sesuatu kawasan.

“Kadang-kadang mereka berpindah sebab musim buah-buahan atau lari daripada penyakit yang mempunyai kaitan dengan kepercayaan mereka serta berkunjung ke rumah saudara mara sekiranya ada keramaian. Ini memang cara hidup mereka,” katanya.  

- Bernama/ZM/zm

Top