Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pandemik COVID-19 semakin pantas merebak dengan rantau Amerika paling teruk terjejas

Pandemik COVID-19 semakin pantas menular, dengan 150,000 kes baru dicatatkan pada Khamis (18 Jun) iaitu jumlah tertinggi dalam sehari dan hampir separuh daripadanya dilaporkan di rantau Amerika, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Anggaran Waktu Membaca:
Pandemik COVID-19 semakin pantas merebak dengan rantau Amerika paling teruk terjejas

Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 20 Jun 2020 08:49AM Dikemas Kini : 20 Jun 2020 08:54AM

GENEVA: Pandemik COVID-19 semakin pantas menular, dengan 150,000 kes baru dicatatkan pada Khamis (18 Jun) iaitu jumlah tertinggi dalam sehari dan hampir separuh daripadanya dilaporkan di rantau Amerika, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Dunia berada dalam satu fasa baru dan berbahaya," kata Ketua Pengarah Tedros Adhanom Ghebreyesus semasa satu taklimat maya dari ibu pejabat WHO di Geneva. "Virus ini masih merebak dengan pantas, masih membawa maut, dan kebanyakan orang masih boleh dijangkiti."

Lebih 8.53 juta orang dilaporkan dijangkiti oleh virus korona baru di seluruh dunia dan 453,834 orang telah terkorban, menurut data yang dikumpulkan Reuters setakat 1.26 tengah hari waktu GMT pada Jumaat.

Dr Tedros, yang peranannya memimpin WHO dikritik hebat oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, menggesa orang ramai supaya menjaga jarak selamat dan mengekalkan "kewaspadaan amat tinggi."

Seperti di rantau Amerika, sejumlah besar kes baru adalah dari Asia Selatan dan Timur Tengah, tambah Dr Tedros.

Pakar kecemasan WHO, Mike Ryan menarik perhatian terhadap keadaan di Brazil. Beliau berkata 1,230 lagi kematian akibat COVID-19 dicatatkan di negara itu dalam tempoh 24 jam sebelum ini.

Kira-kira 12 peratus jangkitan di Brazil melibatkan para pekerja jagaan kesihatan, tambahnya, sambil memuji keberanian mereka.

Brazil menghadapi penularan paling teruk di dunia di luar Amerika Syarikat, dengan 978,142 kes jangkitan dan 47,748 kematian dilaporkan.

"PERJALANAN SUKAR" HASILKAN VAKSIN

Dengan banyak negara melonggarkan sekatan namun bimbang akan gelombang jangkitan kedua, Dr Ryan menggesa pendekatan secara beransur-ansur dan saintifik.

"Langkah menarik balik sekatan mesti dilakukan dengan berhati-hati, selangkah demi selangkah, dan mesti berdasarkan data," katanya.

Dr Ryan berkata kemunculan kelompok baru tidak semestinya bermaksud gelombang kedua, sementara "puncak kedua" juga mungkin berlaku dalam satu gelombang. Pakar kecemasan itu memuji Jerman, China dan Korea Selatan kerana cara negara-negara itu menangani pandemik tersebut.

Dengan ujian dijalankan di seluruh dunia untuk mencari ubat-ubatan dan vaksin untuk COVID-19, para pegawai WHO memberi amaran bahawa ujian secara besar-besaran akan diperlukan dengan kesan sampingannya dipantau dengan teliti.

"Walaupun tidak mustahil untuk mencari vaksin ... ia akan menjadi perjalanan yang sangat sukar," kata Dr Tedros.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan