Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pandemik COVID-19 'pemangkin transformasi digital' wilayah terpencil Papua

Meskipun hadapi cabaran pembangunan prasarana, pendigitalan ibarat menawarkan penghubung nyawa bagi penduduk kawasan terpencil di Papua yang kelangsungan hidup mereka terjejas dek pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

JAKARTA: Kawasan-kawasan terpencil di Indonesia sedang menjalani satu transformasi digital sebagai sebahagian daripada usaha pemerintah untuk merapatkan jurang teknologi dan memajukan kawasan-kawasan di luar Pulau Jawa.

Di wilayah Papua, pandemik COVID-19 mempercepat perubahan itu, dengan ekonomi digital mengubah kehidupan dan mata pencarian di salah satu wilayah paling terpencil di Indonesia itu.

Di Jayapura, ibu kota wilayah tersebut, terletak sebuah rumah anak-anak yatim yang mendapat dorongan yang tidak disangkakan semasa pandemik sekarang menerusi jasa baik seorang pegawai awam, Derek Norotouw.

Beliau menghabiskan masa luang serta pendapatan tambahannya di sini.

SUMBER PENDAPATAN TAMBAHAN

Pandemik COVID-19 menyebabkan para pekerja awam sepertinya tidak banyak kerja untuk dilakukan.

Projek-projek pemerintah tempatan telah ditangguhkan kerana adanya sekatan pergerakan bagi membendung penularan virus COVID-19.

Lantaran itu Encik Derek menjadi pemandu khidmat kereta sewa Grab untuk mengisi masa luangnya.

Ia memberinya pendapatan tambahan dan kini Encik Derek menyumbangkan 20 peratus daripada gaji bulanannya kepada rumah anak-anak yatim di mana beliau menyumbang tenaga sebagai sukarelawan.

Berkongsi kepada Mediacorp, Encik Derek menceritakan perbualannya dengan majikannya:

"Majikan saya, saya sudah beritahu. Saya memberitahu juga bahawa saya, selain (kerja) ini: 'Pak minta maaf saya punya banyak tanggungan di keluarga dan rumah anak-anak yatim. Jadi saya bekerja sambilan sebagai pemandu Grab dan saya melakukan tugas Grab juga, jadi mohon dimaklumi'."

Encik Derek menambah bahawa majikannya memahami keadaannya dan memberi keizinan, asalkan beliau dapat menyelesaikan sebarang tugas yang diberikan.

CABARAN BINA PRASARANA DIGITAL

COVID-19 telah mengubah corak bekerja di merata dunia.

Ramai orang beralih ke wadah online untuk mencari sumber pendapatan.

Keadaan itu juga berlaku di Papua yang mempunyai kadar penerobosan digital paling rendah di Indonesia.

Pemerintah pusat di Jakarta memberi sokongan kepada usaha pendigitalan di kawasan-kawasan terpencil.

Pandemik mempercepat rancangan bagi membina prasarana rangkaian selular 4G, komponen amat penting bagi ekonomi digital.

Namun ia bukan tugas mudah di kawasan gunung-ganang di Papua.

"Lokasi Papua ini cukup unik. Banyak desa, bahkan kabupaten yang terletak di lembah-lembah gunung. Papua memerlukan biaya yang luar biasa besarnya kerana untuk membangunkan infrastruktur fizikal, kita tidak bisa guna jalan darat, harus membawa dengan pesawat, sambung lagi dengan helikopter," jelas Anang Latif, pengarah utama Bursa Pengetahuan Kawasan Timur Indonesia (BaKTI), yang menyelia program pembangunan di kawasan itu.

Papua juga banyak tasik besar dan sesetengah kampungnya masih amat sukar dikunjungi.

POTENSI PERNIAGAAN DIGITAL

Salah seorang penduduk di perkampungan terpencil adalah Beatrix Pepuho, yang tinggal di Pulau Asei.

Ia mengambil masa kira-kira 10 minit dengan menaiki bot dari bandar Sentani berhampiran untuk sampai ke sana.

Ramai penduduknya meraih pendapatan dengan membuat lukisan di kulit-kulit kayu, satu kemahiran turun-temurun.

Cik Beatrix, lazimnya, menjual hasil kerja tangannya kepada para pelancong yang mengunjungi Asei.

Namun disebabkan pandemik tiada lagi pelancong datang ke pulau itu.

Cik Beatrix kini menjualnya menerusi wadah-wadah media sosial seperti Facebook.

Cara itu juga membuka pasaran amat besar kepadanya.

Jumlah pembeli di wadah digital di Indonesia dianggarkan mencecah 190 juta menjelang tahun 2024.

Meskipun pandemik COVID-19 menjejas kehidupan biasa, ramai penduduk Indonesia kini berharap ia juga akan menjadi pemangkin kepada perubahan yang mencetuskan banyak peluang menerusi wadah online termasuk di kampung-kampung paling terpencil di negara itu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/CNA/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan