Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Palestin batal perjanjian pertukaran vaksin 'hampir tarikh luput' dengan Israel

Penguasa Palestin (PA) pada Jumaat (18 Jun) memutuskan untuk membatalkan perjanjian pertukaran yang akan menyaksikan Israel memberi satu juta dos vaksin COVID-19 yang sudah menghampiri tarikh luput.

Anggaran Waktu Membaca:
Palestin batal perjanjian pertukaran vaksin 'hampir tarikh luput' dengan Israel

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 19 Jun 2021 09:56AM Dikemas Kini : 19 Jun 2021 10:03AM

RAMALLAH: Penguasa Palestin (PA) pada Jumaat (18 Jun) memutuskan untuk membatalkan perjanjian pertukaran yang akan menyaksikan Israel memberi satu juta dos vaksin COVID-19 yang sudah menghampiri tarikh luput.

Pegawai Israel sebelum itu mengumumkan perjanjian berkenaan dengan mengatakan Israel akan memberikan dos kepada Penguasa Palestin kerana tarikh tamat tempohnya semakin hampir.

PA yang berpangkalan di Tebing Barat, mengesahkan penghantaran sejuta dos vaksin dalam tempoh beberapa hari akan datang tanpa menjelaskan perjanjian dengan Israel.

Penghantaran awal sekitar 90,000 dos Pfizer bagaimanapun gagal mematuhi "spesifikasi terkandung dalam perjanjian, sekali gus menyaksikan Perdana Menteri, Mohammad Shtayyeh mengarahkan Menteri Kesihatan membatalkan perjanjian itu," kata jurucakap pemerintah Ibrahim Melhem.

"Pemerintah menolak untuk menerima vaksin yang tarikhnya hampir tamat," katanya dalam kenyataan dikeluarkan agensi berita rasmi WAFA.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett sebelum itu berkata "Israel menandatangani perjanjian dengan Penguasa Palestin dan akan menyediakan sekitar satu juta dos vaksin Pfizer yang akan tamat tempoh", tanpa memberikan tarikh tamat penggunaannya.

"Israel akan menerima jumlah dos Pfizer yang sama pada September/Oktober 2021, yang sepatutnya dihantar kepada Penguasa Palestin," menurut kenyataan Israel itu.

Israel melancarkan kempen vaksinasi secara menyeluruh selepas memperoleh jutaan dos vaksin Pfizer-BioNTech.

Lebih 55 peratus penduduk Israel atau kira-kira 5.1 juta orang sudah menerima dua dos vaksin.

Bagi pihak Palestin, lebih 270,000 penduduk sudah menerima dua dos di Tebing Barat dan Carikan Gaza, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Pihak berkuasa kesihatan Palestin mencatatkan lebih 312,000 kes COVID-19, termasuk 3,540 kematian.

Israel pula melaporkan hampir 840,000 kes, dengan lebih 6,420 kematian direkodkan.

Sumber : AFP/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan