Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pakatan perisikan ASEAN dilancar perangi ancaman pengganasan

Singapura dan lima negara Asia Tenggara lain melancarkan pakatan perisikan hari ini (25 Jan) bertujuan untuk memperbaiki kerjasama bagi membanteras ancaman pengganas.

Anggaran Waktu Membaca:
Pakatan perisikan ASEAN dilancar perangi ancaman pengganasan

Wakil dari Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand dan Singapura. (Gambar: MINDEF)

Diterbitkan : 25 Jan 2018 11:11PM Dikemas Kini : 25 Jan 2018 11:43PM

JAKARTA: Singapura dan lima negara Asia Tenggara lain melancarkan pakatan perisikan hari ini (25 Jan) bertujuan untuk memperbaiki kerjasama bagi membanteras ancaman pengganas.

Di bawah inisiatif Mata Kami atau 'Our Eyes' (OEI), negara-negara yang terlibat akan "mencari jalan untuk bertukar maklumat strategik mengenai pengganasan, radikalisme dan ekstremisme ganas", kata Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam satu kenyataan media.

Menteri Negara Kanan Pertahanan Dr Maliki Osman, berada di Bali untuk pelancaran OEI.

Dalam catatan Facebook hari ini, Dr Maliki berkata bahawa "Singapura komited untuk mengukuhkan kerjasama serantau dalam memerangi ancaman pengganasan yang semakin meningkat".

Lima negara lain dalam pakatan itu ialah Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand.

Di bawah inisiatif itu, para pegawai pertahanan kanan akan bertemu setiap dua minggu untuk bertukar-tukar maklumat berkaitan kumpulan militan dan membangunkan pangkalan data keganasan pelampau secara bersama, lapor Reuters.

Kerjasama perkongsian perisikan itu dilakukan selepas pemberontak yang bersekongkol dengan kumpulan pengganas ISIS mengepung bandar selatan Filipina di Marawi tahun lalu.

"Ini sesuatu yang kelihatan mudah, namun kesannya luar biasa," kata Menteri Pertahanan Indonesia Ryamizard Ryacudu ketika pelancaran di Bali.

Menurut Encik Ryamizard, perkongsian perisikan itu akan memastikan insiden seperti Marawi tidak akan berlaku lagi dan menghalang rantau itu daripada 'menjadi seperti Timur Tengah.'

Beliau menambah, perkongsian perisikan itu 'terutama untuk memerangi pengganasan dan radikalisme.'

Katanya, walaupun diketuai pasukan tentera, perkongsian perisikan itu membabitkan semua pihak termasuk polis.

Tambah beliau lagi, negara-negara lain boleh dijemput untuk menyertai rangkaian perisikan OEI, yang namanya diilhamkan oleh persekutuan perisikan yang bertahan antara Amerika Syarikat, Britain, Australia, New Zealand dan Kanada.

Selain negara-negara ASEAN, Encik Ryacudu mengenal pasti negara-negara seperti Amerika Syarikat, Australia dan Jepun menganggotai pakatan itu pada masa depan.  

Sumber : CNA/SU/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan