Images
  • anwar
    Gambar fail Anwar Ibrahim semasa wawancara eksklusif bersama Mediacorp. 

Pakatan Harapan tidak beri wang kempen bagi raih sokongan

TANAH RATA: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim menegaskan Pakatan Harapan (PH) tidak menggunakan pendekatan politik wang ketika berkempen seperti Barisan Nasional (BN) bagi mendapatkan sokongan.

Ketika berucap kepada sekitar 200 anggota masyarakat Orang Asli Pos Betau, Encik Anwar berkata pengundi kawasan Cameron Highlands harus percaya dan yakin bahawa kerajaan baru akan menyalurkan peruntukan, sebaik sahaja calonnya diberi mandat dalam pilihan raya kecil kawasan itu.

"Saya ucap terima kasih kepada anda semua kerana sanggup bersusah payah datang. Saya hanya boleh beri jaminan, kita berkempen tidak macam BN, asal dekat pilihan raya bagi duit, bagi duit dan itu ini selepas itu hilang selama lima tahun."

"Saya masa berkempen Ahli Parlimen Port Dickson dua bulan lalu tak bagi (duit). Sebaik menang, menteri turun, projek turun, masjid surau, tokong, termasuk (di) kampung Orang Asli kita bagi perhatian,” katanya.

Turut hadir Pengerusi PKR Pahang Fuziah Salleh, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Ahli Dewan Negara Bob Manolan Mohamad dan calon PH M. Manogaran.

CALON PH AKAN LAKUKAN PERUBAHAN

Dalam pada itu, Encik Anwar menyeru kepada para pengundi Orang Asli Pos Betau agar memberi kepercayaan kepada Encik Manogaran untuk pihaknya melakukan perubahan.

"Berapa lama dah kerajaan BN memerintah, tengok cara hidup Orang Asli, saya tak kata tiada perubahan langsung tapi sedikit sekali perubahan yang mereka lakukan.

"Tanggungjawab kita, kita tidak mahu lagi mana-mana masyarakat terpencil.

"Sebab itu saya minta kawan-kawan kali ini kita kalahkan BN dan sokong PH, dan saya yakin dia (Manogaran) akan bercakap (masalah) bagi pihak semua rakyat,” katanya.

Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands pada 26 Januari ini menyaksikan pertandingan 4 penjuru membabitkan calon PH, Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd Bor serta dua calon bebas iaitu mantan pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib, 61 tahun, dan petani, Wong Seng Yee, 40 tahun.

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu mengisytiharkan kemenangan C. Sivarraajh daripada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 bagi Parlimen itu, terbatal dan tidak sah.

- BERNAMA/AI/ai

Top