Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pakatan Harapan 'setuju' usulan reformasi parlimen oleh PM Sabri

Perikatan pembangkang, Pakatan Harapan (PH) menyatakan ia "cenderung untuk mempersetujui" tawaran oleh Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob untuk melaksanakan transformasi parlimen.

Anggaran Waktu Membaca:
Pakatan Harapan 'setuju' usulan reformasi parlimen oleh PM Sabri

PM Malaysia Ismail Sabri Yaakob (dua dari kanan) semasa mesyuarat bersama pemimpin Pakatan Harapan Anwar Ibrahim (dua dari kiri), Mohamad Sabu (kiri) dan Lim Guan Eng. (Gambar: Pejabat Perdana Menteri M'sia)

Diterbitkan : 12 Sep 2021 03:43PM Dikemas Kini : 12 Sep 2021 03:48PM

KUALA LUMPUR: Perikatan pembangkang, Pakatan Harapan (PH) menyatakan ia "cenderung untuk mempersetujui" tawaran oleh Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob untuk melaksanakan transformasi parlimen.

Dalam satu kenyataan bersama pada Sabtu malam (11 Sep), majlis presiden PH menulis: "Secara dasarnya, Pakatan Harapan cenderung untuk mempersetujui memorandum persefahaman ini demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat, tertakluk kepada perincian penambahbaikan draf yang perlu diperhalusi wakil kedua-dua pihak sebelum boleh dimuktamadkan."

“Marilah kita menggembleng seluruh kekuatan untuk menangani pandemik COVID-19 dan mengatasi kemelesetan ekonomi yang melanda negara kita,” tambahnya.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Encik Anwar Ibrahim, yang memimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), bersama-sama Encik Lim Guan Eng dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Encik Mohamad Sabu dari Parti Amanah Negara.

Pada Jumaat, PM Ismail mengeluarkan kenyataan bahawa Kabinet telah bersetuju untuk menawarkan pelaksanaan beberapa transformasi parlimen dan pentadbiran kerajaan, menjelang sidang parlimen pada Isnin.

Pakej transformasi itu meliputi pembentangan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti, yang jika diluluskan akan mencegah ahli politik yang diundi atas platform satu parti bertukar ke parti lain.

Pertukaran parti seperti itu menyebabkan kejatuhan kerajaan PH pada Februari 2020, apabila beberapa AP dari PKR dan hampir kesemua AP Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), menarik diri daripada perikatan yang memerintah ketika itu.

Kejatuhan kerajaan negeri Johor, Perak, Melaka dan Kedah turut disebabkan oleh ADUN PH melompat ke Perikatan Nasional (PN).

Usulan lain yang ditawarkan PM Ismail Sabri dalam kenyataannya pada Jumaat termasuk memastikan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang seimbang daripada kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang.

Manakala Ketua Pembangkang pula akan diberi saraan dan kemudahan setara seorang menteri.

Beliau juga mengusulkan tempoh jawatan perdana menteri dihadkan kepada 10 tahun, selain pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat.

Tawaran yang dibuat oleh Encik Ismail Sabri mirip dengan yang dibuat oleh pendahulunya Encik Muhyiddin Yassin hampir sebulan lalu, ketika beliau meminta sokongan bipartisan di Dewan Rakyat untuk bertahan dalam undi percaya yang menjelang ketika itu.

Dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen, Encik Muhyiddin berjanji bahawa jika beliau mendapat sokongan dua pertiga anggota dewan, beliau akan memulakan reformasi parlimen.

Encik Muhyiddin ketika itu menghadapi krisis sokongan setelah presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan beliau telah mengumpulkan akuan bersumpah yang secukupnya daripada ahli parlimen partinya yang menyatakan bahawa mereka telah menarik balik sokongan mereka terhadap Encik Muhyiddin.

Tawaran Encik Muhyiddin itu ditolak oleh PH dan juga UMNO. Parti pembangkang lain seperti Parti Pejuang TanahAir bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, juga menolak tawaran itu, yang mengakibatkan Encik Muhyiddin meletak jawatan pada 16 Ogos.

Sumber : CNA/BERNAMA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan