Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pakar hak asasi PBB gesa Indonesia siasat guna ular semasa soal siasat di Papua

Para pakar hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Indonesia supaya menyiasat tuduhan-tuduhan keganasan yang dilakukan oleh pihak polis dan tentera di Papua.

Anggaran Waktu Membaca:
Pakar hak asasi PBB gesa Indonesia siasat guna ular semasa soal siasat di Papua

Petikan gambar daripada video yang tular di media sosial.

Diterbitkan : 22 Feb 2019 12:52PM Dikemas Kini : 22 Feb 2019 12:58PM

GENEVA: Para pakar hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Indonesia supaya menyiasat tuduhan-tuduhan keganasan yang dilakukan oleh pihak polis dan tentera di Papua setelah satu rakaman video menunjukkan para pegawai menggunakan seekor ular yang masih hidup untuk menakut-nakutkan suspek semasa sedang disoal siasat.

Aduan-aduan mengenai penganiayaan yang dilakukan oleh pasukan-pasukan keselamatan kerap berlaku di wilayah Papua, di mana gerakan pemisah sudah reda sejak berdekad-dekad lalu.

Bekas tanah jajahan Belanda di bahagian barat pulau New Guinea itu digabung dengan Indonesia menyusuli satu pungutan suara pada 1969 yang dikritik oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Kami menggesa pemerintah supaya mengambil tindakan untuk mencegah penggunaan kekerasan yang keterlaluan oleh para pegawai polis dan tentera yang terlibat dalam penguatkuasaan undang-undang di Papua," menurut para pakar.

"Kami amat prihatin terhadap budaya yang mengecualikan siasatan terhadap dakwaan berlaku pencabulan hak asasi manusia di Papua," menurut mereka dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Para penduduk Papua dilayan "dengan cara kejam, tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah mereka", tambah para pakar, termasuk beberapa pelapor khas hak asasi manusia dan orang asli.

Seorang jurucakap dari kementerian luar Indonesia bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Polis di Papua mencetuskan kemarahan ramai setelah para pegawai meletakkan seekor ular di leher seorang suspek untuk memaksanya mengaku atas kesalahan mencuri.

Polis Indonesia sudah memohon maaf dan berikrar akan mengambil tindakan disiplin.

Sumber : Reuters/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan