Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pahang tawar bina rumah bagi 8 beradik kematian ibu bapa angkara COVID-19

Kerajaan Pahang hari ini (24 Jul) menawarkan untuk membina Rumah Rakyat Pahang (RRP) secara percuma kepada lapan beradik yang kematian ibu bapa mereka akibat COVID-19 minggu lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Pahang tawar bina rumah bagi 8 beradik kematian ibu bapa angkara COVID-19

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 24 Jul 2021 09:43PM Dikemas Kini : 24 Jul 2021 09:50PM

KUANTAN: Kerajaan Pahang hari ini (24 Jul) menawarkan untuk membina Rumah Rakyat Pahang (RRP) secara percuma kepada lapan beradik yang kematian ibu bapa mereka akibat COVID-19 minggu lalu.

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata tapak rumah yang dicadangkan bagi pembinaan kediaman bernilai RM65,000 (S$20,036) itu terletak di kampung asal arwah ibu mereka di Rancangan Tanah Felda Kota Gelanggi 2, Jerantut.

"Saya turut bersedih dan bersimpati dengan nasib kelapan-lapan beradik ini, yang sulung Nazurah Nabilah Benyajeed baru berusia 19 tahun manakala adik-adiknya berusia empat hingga 18 tahun yang kini tinggal menyewa bersama-sama ibu saudara mereka di Rawang, Selangor. 

"Demi melihat mereka kekal tinggal serumah bersama-sama ibu saudara mereka itu, kerajaan negeri membuat tawaran RRP ini, dan ibu saudara mereka akan diberikan elaun bulanan sewajarnya," katanya menerusi kenyataan media pada Sabtu.

Katanya selain itu, Yayasan Pahang dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) akan membiayai pendidikan mereka yang masih bersekolah manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang sedia menyenaraikan keluarga itu sebagai penerima bantuan bulanan.

Wan Rosdy berkata pegawainya menghubungi anak sulung daripada lapan beradik itu dan berharap tawaran berkenaan akan diterima keluarga itu. 

Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai kisah lapan beradik itu yang menjadi yatim piatu sekelip mata selepas kedua ibu bapa mereka pergi buat selama-lamanya dalam tempoh tiga hari akibat wabak COVID-19.

Ayah kepada lapan beradik itu, Benyajeed Bernie disahkan meninggal dunia pada 16 Julai manakala isterinya Noraini Ibrahim meninggal dunia dua hari kemudian.

Kisah lapan beradik itu turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob yang memaklumkan Kementerian Pertahanan bersetuju untuk mengambil lapan beradik itu sebagai anak angkat kepada Boustead Holdings Berhad (Boustead) yang merupakan anak syarikat di bawah kementerian itu.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan