Images
  • osaka
    (Gambar: REUTERS/Edgard Garrido)

Osaka batal larian obor Olimpik, isytihar kecemasan COVID-19

TOKYO: Wilayah Osaka pada Rabu (7 Apr) membatalkan acara larian obor Olimpik yang dijadualkan di barat Jepun itu disebabkan penularan semula kes COVID-19 yang sekali gus mendorong pihak kerajaan mengisytiharkan kecemasan perubatan.

Pihak berkuasa kesihatan bimbang satu varian virus bakal mencetuskan gelombang keempat jangkitan hanya 107 hari sebelum temasya Olimpik Tokyo bermula. Malah, proses vaksinasi di negara itu masih di peringkat awal lagi.

Gabenor Osaka Hirofumi Yoshimura berkata acara larian di jalan raya akan dibatalkan. Beliau menambah sistem perubatan berdepan dengan banyak tekanan disebabkan varian yang lebih berjangkit menyebabkan jumlah kes dalam kalangan golongan muda meningkat secara mendadak.

"Besar kemungkinan varian baru ini lebih mudah berjangkit dan menular dengan cepat," menurutnya.

"Saya ingin meminta semua penduduk Osaka supaya mengelak dari keluar rumah tanpa keperluan penting. Sistem perubatan kini dalam keadaan yang amat tertekan."

Menurut media tempatan, wilayah itu melaporkan lebih 800 jangkitan baru pada Rabu, domestik, iaitu satu jumlah rekod buat hari kedua berturut-turut.

Sejak kebelakangan ini, jumlah jangkitan di Osaka melebihi kes di Tokyo. Bagaimanapun, jumlah kes di Tokyo juga terus meningkat. Tokyo melaporkan sebanyak 555 kes baru COVID-19 pada Rabu (7 Apr), iaitu yang tertinggi sejak awal Januari.

Langkah-langkah kecemasan di kawasan Osaka mungkin diperluaskan ke Tokyo dan kawasan lain jika perlu, menurut Perdana Menteri Yoshihide Suga pada Ahad. 

- AFP/NA/na

Top